mutakhir

Seri Molek & kasut bermanik

Oleh Hamizah Badiran

Kemajuan atau perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Malaysia semakin terserlah selepas penubuhan Koridor Raya Multimedia (MSC) pada 1 Ogos 1996 yang membolehkan masyarakat celik teknologi maklumat (IT) serta berdaya saing dengan negara maju.

Sejak itu, pelbagai usaha berterusan dilakukan oleh kerajaan bagi membolehkan masyarakat terutama di luar bandar seperti petani atau usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapat manfaat daripada perkembangan ICT.

Faktor berada di kawasan luar bandar tidak seharusnya menjadi penghalang bagi PKS untuk memperluaskan jaringan perniagaan mereka melangkaui kawasan setempat yang menambah pendapatan.

Apatah lagi dengan Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan (NBI) yang dilaksanakan kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) seharusnya menjadi landasan terbaik bagi mengelakkan diri menjadi katak di bawah tempurung.

Selain itu, penubuhan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) atau dulu dikenali sebagai Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) yang diwujudkan di kawasan luar bandar seluruh negara turut membolehkan penduduk menggunakan jaringan Internet dengan lebih mudah.

Inisiatif ini bukan saja dapat merapatkan jurang hubungan masyarakat di bandar dan luar bandar, tetapi juga memberi faedah kepada PKS meluaskan perniagaan mereka secara dalam talian dengan lebih mudah.

Pengembangan perniagaan turut dibantu program pembangunan usahawan menerusi penggunaan Internet di bawah skim Geran Get Malaysian Business Online (GMBO) yang mana PKS digalakkan membina laman web mereka selain mempunyai kedai secara tradisi.

Dalam bajet 2013, GMBO adalah inisiatif kerajaan yang menyediakan geran berjumlah RM1,000 bagi PKS yang membina laman web mereka sendiri.

Seorang daripada penerima geran ini, Noorlinata Ramli, 48, berkata, perniagaannya semakin maju selepas permohonan mendapatkan geran berkenaan diluluskan dan menerima bimbingan serta latihan di PI1M tahun lalu.

“Selepas menyertai kursus pada November 2012 dan mendapat maklumat terkini mengenai program ICT serta keusahawanan anjuran PI1M Sungai Pinggan, Benut, Pontian, Johor, maka tercetuslah idea untuk membangunkan laman sesawang www.homestayshop.com.my yang dimiliki oleh Norlynata Enterprise.

“Tujuannya cuma satu iaitu saya mahu mempromosi dan memperkenalkan perniagaan inap desa saya ini kepada orang ramai.

“Jika sebelum ini, hanya masyarakat setempat saja tahu mengenai kewujudan perniagaan saya, tetapi menerusi capaian Internet, lebih mudah untuk orang luar mendapat maklumat mengenainya,”katanya yang memiliki inap desa di Tasek Merdeka dan rumah persinggahan Seri Molek di Taman Bukit Pasir.

Paling memberangsangkan, pendapatannya meningkat berkali ganda dengan anggaran RM2,000 hingga RM5,000 sebulan selepas membina laman sesawang sendiri berbanding RM1,000 sebelum ini.

Tambah menarik, pelancong dari Banjarmasin, Indonesia dan Eropah juga menginap di inap desa miliknya selepas mengetahui kewujudan perniagaannya menerusi Internet.

Seperti Noorlinata, Maszni Abdul Aziz, 45, juga penerima geran berkenaan dan menggunakan PI1M sebagai medium untuk meluaskan empayar perniagaan kasut maniknya yang bertapak di Umbai, Melaka ke peringkat lebih tinggi.

Maszni menceburi bidang membuat kasut manik pada 2002 secara tidak sengaja apabila dia yang ketika itu tinggal di kawasan kejiranan baru suka melihat jirannya yang berbangsa Cina menjahit kasut manik sebagai punca pendapatan sampingan.

“Bermula dari situ, saya bertambah serius menimba ilmu dan melihat kesungguhan ini, Kraftangan Malaysia terus membimbingnya sebagai usahawan kecil.

“Saya ambil peluang ini untuk jadi usahawan. Berbekalkan minat dan bakat, perniagaan kasut manik dengan jenama Sparkle Beads dibangunkan,” katanya.

Tambahnya, ilmu pada waktu itu belum sebanyak mana jadi melalui bimbingan dan promosi yang disertai dia menambah lagi pengalaman.

Menurutnya, perubahan selepas menyertai GMBO juga amat ketara apabila lebih ramai pelajar dan pelancong asing yang mahu belajar membuat kasut manik atau melawat perusahaannya tahu mengenai Sparkle Beads hanya selepas melayari Internet.

Dia juga dapat kembangkan perniagaan ke serata dunia bagi mempromosikan kasut manik ini seperti ke Singapura, Taiwan, China, Korea Selatan dan Jepun.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pembangunan Industri MCMC, Dato’ Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus berkata, penggunaan Internet meningkatkan ilmu pengetahuan dan membantu meluaskan perniagaan selain perkhidmatan e-pembelajaran.

“PI1M diwujudkan bagi memenuhi capaian pembangunan yang seimbang antara kawasan dan kumpulan masyarakat.

“Inisiatif ini selaras dengan usaha mempersiapkan masyarakat di negara ini sebagai masyarakat celik dalam ICT. Manfaat ICT membolehkan penduduk lebih maju dan berdaya saing berbanding beberapa tahun dulu apatah lagi golongan muda.

“Hasil daripada kempen ICT, banyak rumah mempunyai Internet, malah pengenalan kepada gajet dan telefon pintar membolehkan orang ramai melayari Internet di mana saja,” katanya.

Jelasnya, PI1M membolehkan orang ramai melayari Internet bagi mendapatkan pelbagai maklumat selain membantu mereka berkecimpung dalam dunia perniagaan dan pembelajaran.

Sehingga September lalu, sebanyak 462 PI1M sudah dibina di seluruh Malaysia termasuk dua buat golongan miskin bandar yang terletak di Kerinchi dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai.

Pada 31 Disember 2013, seramai 41,000 usahawan telah membuat permohonan GMBO dan sebanyak 34,000 usahawan telah diberi geran tersebut setelah meneliti syarat kelayakan.

GMBO memberi impak positif di mana melalui satu kajian dilakukan mendapati, 87.7 peratus PKS bersedia untuk melabur sebahagian daripada pendapatan perniagaan mereka bagi tujuan aktif dalam talian.

93 peratus pula setuju cara ini mampu meningkatkan pengetahuan dan pemahaman orang ramai terhadap produk mereka manakala 95 peratus daripada mereka merasakan bahawa peluang perniagaan dalam talian dapat melonjakkan pendapatan.

“Ini kerana, promosi dapat dilakukan dengan cepat, tiada kekangan memperkenalkan produk ke luar negara, jimat dan transaksi perniagaan juga lebih lancar.

“Selain itu, menerusi Projek Permulaan (EPP) - Memperluas Jangkauan, selain PI1M terdapat beberapa projek yang turut diberi perhatian antaranya Kampung Tanpa Wayar 1Malaysia (KTW1M) dan perluasan liputan selular.

“Sehingga September lalu, sebanyak 4,800 KTW1M sudah dibina dan pada tahun depan pula, 1,000 menara akan dipasang membabitkan kawasan pedalaman,” katanya.

Dato’ Mohd Ali Hanafiah berkata, walaupun pemberian geran RM1,000 sudah tidak diteruskan buat masa ini, beliau berharap penerima geran sedia ada sentiasa melakukan susulan perniagaan dalam talian ke peringkat seterusnya.

Pihaknya juga mahu meluaskan pembinaan infrastruktur dan fokus bantuan jalur lebar bukan setakat untuk masyarakat luar bandar tetapi juga mereka yang terdiri daripada golongan miskin bandar.

Perniagaan atas talian atau online adalah bisnes masa depan. Dengan kewujudan 460 PI1M dan lebih 4,800 KTW1M, bakal usahawan seharusnya mengambil peluang dengan menggunakan perkhidmatan disediakan bagi mengembangkan perniagaan ke luar negara. Untuk maklumat lanjut lawat http://usp.skmm.gov.my/Mobile/Home.aspx

Disiarkan pada: December 10, 2014 @ 8:22am
d