mutakhir

Periksa ban elak pecah

Ipoh: Hujan lebat luar biasa, ban pecah dan sungai dipenuhi sampah, dikesan menjadi penyebab utama punca banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di bandaraya ini kelmarin.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), memantau dan memeriksa kekukuhan semua benteng atau ban tebing sungai di negeri ini bagi mengelak mudah pecah sehingga berlaku banjir kilat dan menenggelamkan penempatan penduduk berhampiran.

Katanya, pemantauan dan tindakan berjaga-jaga perlu dilakukan di sekitar Lembah Kinta dan Daerah Hilir Perak yang sering dilanda hujan lebat ketika ini.

“Terdapat dua kes banjir kilat sehingga menenggelamkan rumah penduduk akibat kejadian benteng sungai pecah iaitu di Daerah Hilir Perak baru-baru ini serta di Klebang dekat sini tengah malam tadi (kelmarin).

“JPS memberi jaminan untuk segera membaiki benteng penahan banjir Sungai Klebang bagi mengelak kejadian sama berulang yang dilakukan agensi berkenaan serta-merta,” katanya selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, semalam.

Zambry berkata, dia turut melawat kawasan di Klebang terjejas akibat banjir pada hari kejadian dan difahamkan ia berpunca daripada benteng Sungai Klebang yang pecah, selain hujan lebat selama beberapa jam bermula lewat petang kelmarin.

Disiarkan pada: December 10, 2014 @ 8:24am
d