mutakhir

Cemas dikepung air

Oleh Muhammad Apendy Isahak dan Mohd Hafizee Mohd Arop

Ipoh: “Kami tiga beranak terperangkap dalam rumah apabila pintu depan dan belakang tidak dapat dibuka disebabkan arus air yang kuat. Ketika itu air sudah naik hingga paras dada dan memaksa dua anak berdiri atas meja untuk elak dari lemas.

“Mujurlah ada jiran mendengar jeritan kami dan memberikan bantuan, kalau tidak sudah pasti kami lemas di dalam rumah kerana air semakin naik,” kata Siti Zaleha Othman, 47.

Dalam kejadian banjir itu, 308 penduduk membabitkan 48 keluarga dari lima kawasan sekitar Klebang dan Manjoi dipindahkan ke tiga pusat pemindahan apabila kediaman mereka dinaiki banjir setinggi satu hingga 1.5 meter susulan hujan lebat luar biasa bermula jam 7 petang kelmarin.

Zaleha yang juga seorang ibu tunggal terperangkap hampir 10 minit bersama dua anaknya, Nurul Fatiha Kamarudin, 13 dan Shaiful Akmal Kamarudin, 11, di dalam rumahnya yang dimasuki air di Kampung Seri Klebang Tambahan Dua, di sini, berpunca daripada banjir kilat yang melanda di kawasan berkenaan.

Dia yang berniaga burger dan minuman di pasar malam berkata, selain berhadapan detik cemas itu, dia mengalami kerugian apabila semua barangan di dalam rumahnya rosak dan van serta kereta Proton Wira miliknya turut ditenggelami air.

“Walaupun saya mengalami kerugian, saya bersyukur kerana kami bertiga selamat. Saya hanya memikirkan nyawa kedua-dua anak saya berusia 11 dan 13 tahun.

“Bencana kali ini yang kedua saya alami sejak mendiami kawasan ini. Kejadian pertama pada 2004, namun banjir kali kedua lebih teruk berbanding sebelum ini,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Farizal Mohd Razali, 37, berkata, bencana itu hampir menghanyutkan anaknya, Nur Amani Mat Saad, 9, ketika dia bersama suami serta empat anaknya meredah arus deras.

“Tindakan pantas anak sulung Nur Aiman, 13, menarik baju adik menyelamatkan Nur Amani yang terjatuh ketika meredah arus untuk ke pusat penempatan banjir,” katanya yang baru berpindah beberapa bulan ke kawasan berkenaan.

Sementara itu di Kampung Tengku Hussein, Manjoi, Rokiah Mohd Hanafiah, 68, hanya mampu melihat anaknya yang juga kurang upaya (OKU) dan suami yang uzur berendam di dalam air banjir selama hampir tiga jam kerana tidak mampu mengangkat mereka.

Menurutnya, dia bersama anak perempuannya Rohan Mustapha, 50, tidak mampu membantu suaminya, Mustapha Omar, 85 dan anaknya yang OKU, Mohd Shahrulnizam, 40, kerana dirinya juga uzur.

“Kami panik dan takut selepas melihat air masuk ke dalam rumah hingga ke paras dada bermula jam 6.30 petang hingga jam 9.30 malam, dan kami bernasib baik apabila ada penduduk kampung dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) datang menyelamatkan kami dengan mengusung ahli keluarga yang tidak berdaya ke pusat pemindahan banjir,”
katanya.

Disiarkan pada: December 10, 2014 @ 8:26am
d