mutakhir

Cemas bau hangit diikuti letupan kuat

Shah Alam: Penghuni Pangsapuri Nilam Sari di Jalan Plumbum Seksyen 7, di sini, berdepan detik cemas apabila asap hitam tiba-tiba menyelubungi pangsapuri berkenaan, semalam.

Dalam kejadian jam 11 pagi, asap hitam itu berpunca daripada kebakaran dua motosikal di tempat letak motosikal di bawah pangsapuri berkenaan.

Difahamkan, sebelum kejadian ada beberapa kanak-kanak bermain berhampiran kenderaan itu, selain wujud kesan kertas terbakar berhampiran tempat kejadian dipercayai digunakan kanak-kanak itu untuk bermain.

Saksi kejadian yang juga penghuni pangsapuri itu yang hanya mahu dikenali sebagai Rynn, 28, berkata, ketika kejadian, dia berada di rumah di tingkat lima dan terhidu bau hangit sebelum terdengar letupan kuat.

Katanya, pada mulanya dia menyangka letupan itu adalah daripada tong gas kerana bunyinya yang sangat kuat.

“Saya sangka rumah terbakar apabila jiran yang lain mula menjerit supaya penghuni keluar menyelamatkan diri dan asap hitam menyelubungi koridor.

“Suasana ketika itu agak panik kerana asap hitam begitu tebal dan apabila sampai di tingkat bawah ada penduduk memaklumkan motosikal terbakar,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, apa yang menyebabkan keadaan cemas adalah asap naik hingga ke tingkat lima.

Jurucakap bomba berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik bomba tiba lima minit kemudian, kebakaran sudah dipadamkan penghuni pangsapuri,” katanya.

Disiarkan pada: December 11, 2014 @ 6:17am
d