mutakhir

Penduduk tak perlu panik

Segamat: Penduduk tidak perlu panik dengan penemuan rumpai Mexico di sekitar daerah ini, baru-baru ini.

Penolong Pengarah Bahagian Biosekuriti Tumbuhan Jabatan Pertanian negeri Zaiti Akmal Dahlan berkata, rumpai Mexico atau dikenali dengan nama saintifik Pathenium Hysterophorus berasal dari Mexico diwartakan di bawah Akta Kurantin Tumbuhan 1976.

Katanya, daerah Segamat dikenal pasti yang pertama menerima laporan di Johor berhubung penemuan tumbuhan rumpai itu oleh orang awam pada 30 November lalu di Jalan Susur Pemuda.

“Tumbuhan itu boleh menyebabkan kulit mengelupas, gatal hidung, mulut dan ruam jika terkena manusia dan paling buruk boleh menyebabkan penyakit asma.

“Kita menasihatkan orang ramai di daerah ini yang menemui tumbuhan itu supaya menjauhinya dan menghubungi bilik gerakan yang dibuka di talian 07-9316793 untuk tindakan seterusnya. Kita sudah menubuhkan bilik gerakan bagi memantau perkembangan itu di Air Hitam di Muar dan Johor Bahru selain di daerah Segamat sejak beberapa hari lalu,” katanya ketika di hubungi, semalam.

Menurutnya, pihaknya juga masih mengkaji mekanisme yang sesuai untuk menghapuskan rumpai itu.

“Kami juga sudah mengadakan taklimat kepada 60 kakitangan termasuk pegawai pertanian daerah di seluruh negeri Johor mengenai langkah pengawalan tumbuhan itu,” katanya.

Disiarkan pada: December 11, 2014 @ 8:18am
d