mutakhir

Separuh kes denggi di Selangor

Putrajaya: Selangor terus mendahului statistik kes demam denggi apabila mencatatkan 48,000 kes atau 50 peratus daripada keseluruhan 98,383 kes dilaporkan di negara ini bermula Januari hingga kelmarin.

Menteri Kesihatan Datuk Dr S Subramaniam berkata, kementeriannya sudah mengadakan satu perbincangan dengan kerajaan Selangor kelmarin bagi membincangkan usaha meningkatkan kerjasama dalam bidang kawalan denggi di negeri itu.

Beliau berkata, pihaknya meminta kerajaan negeri meningkatkan usaha khususnya di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) membabitkan beberapa bidang utama seperti pengurusan sisa pepejal dan penjagaan kebersihan serta persekitaran.

“Mesyuarat sama turut membincangkan mengenai langkah memperkukuhkan unit kawalan penyakit vektor bersama PBT di Selangor.

“Selain itu, kami turut menambah jumlah pegawai tenaga kerja bagi memerangi denggi di negeri itu serta melakukan pemantauan di tapak pembinaan yang sedang beroperasi,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Disiarkan pada: December 11, 2014 @ 8:26am
d