mutakhir

Sawah padi macam 'laut'

Baling: “Kawasan sawah padi kami sudah bertukar seperti laut apabila air tidak pernah surut sejak sebulan lalu, sekali gus mengakibatkan kebanyakan petani mengalami kerugian yang teruk apabila padi rosak.”

Begitu kata Che Daud Jusoh, 53, antara 20 petani di Kampung Padang Kulim, Kuala Ketil, di sini, yang terjejas akibat kenaikan air di kawasan sawah padi seluas 30 hektar dipercayai berpunca daripada banjir akibat musim hujan berikutan sistem perparitan tidak diselenggara dengan baik sejak November lalu.

Che Daud mendakwa dia mengalami kerugian kira-kira RM15,000 apabila sembilan hektar sawahnya ditenggelami air yang menyebabkan pokok padinya rosak.

Menurutnya, dia mula menanam padi pada hujung Oktober lalu, bagaimanapun semuanya musnah kerana pokok ditenggelami berikutan musim hujan sejak kebelakangan ini.

Katanya, selepas mendapati keadaan kembali pulih dan air di dalam sawahnya mula kering, dia mengusahakan tanaman baru, namun ia juga musnah pada hujung November lalu apabila ditenggelami air akibat banjir buat kali kedua.

“Ketika hujan lebat berpanjangan sejak akhir Oktober lalu, air Sungai Temak sering melimpah menyebabkan banyak sawah yang diusahakan petani di sini, tenggelam.

“Sistem perparitan di kawasan ini bermasalah kerana tidak diuruskan dengan baik dan ia secara tidak langsung menyebabkan sawah kami sentiasa ditenggelami air mengakibatkan tanaman yang diusahakan rosak menyebabkan sumber rezeki kami hilang,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Petani lain, Yahaya Khamis, 52, berkata, dia yang hanya bergantung sepenuhnya hasil pendapatan dengan tanaman padi rasa amat kecewa apabila kejadian yang sama masih berulang walaupun sudah dimaklumkan kepada pihak berkaitan untuk menanganinya.

“Kami pernah menyuarakan masalah ini kepada pihak berkenaan, namun tidak ada sebarang tindakan dilakukan sehingga mengakibatkan masalah ini terus berlarutan.

“Musim ini adalah musim paling teruk buat kami kerana terpaksa menanggung kerugian besar, sedangkan kami sepatutnya mula mendapat hasil tanaman tidak lama lagi kerana padi dijadualkan akan dituai pada Januari akan datang,” katanya.

Disiarkan pada: December 11, 2014 @ 8:39am
d