mutakhir

Lori terlingkup elak dahan patah

Rembau: Seorang pemandu lori nyaris maut apabila kenderaannya yang membawa muatan papan kayu getah seberat 20 tan hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan ketika mengelak dahan patah di Kilometer 39, Jalan Seremban-Tampin, dekat Kota, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, Mohd Yasni Saeran, 52, memandu seorang diri dalam perjalanan dari Gemas ke Senawang untuk menghantar muatan papan itu.

Mohd Yasin berkata, ketika kejadian dia ternampak dahan tumbang merintangi jalan menyebabkan dia mengelak ke kiri dan muatan yang dibawa mula tidak stabil.

“Saya sedaya-upaya cuba mengelak melanggar dahan itu, tetapi tidak menyangka badan lori mula hilang kawalan lalu terbalik di kiri jalan. Mujur saya masih dapat mengawal stereng dan hanya badan lori yang terbalik,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Dia berkata, itu pengalaman paling buruk dialaminya selama 21 tahun menjadi pemandu lori, namun bersyukur kerana tidak cedera.

“Kerja memindahkan papan kayu getah dijalankan selepas laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superintendan Ibrahim Sharif ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian.

Disiarkan pada: December 11, 2014 @ 8:47am
d