mutakhir

Rentap subang dari telinga mangsa

Georgetown: Seorang penjenayah bertindak kejam apabila menarik subang dari kedua-dua belah telinga mangsa ketika wanita yang dalam ketakutan itu sedang melucutkan barang kemasnya dalam kejadian di sebuah rumah flat di Gat Lebuh Maccalu di sini, pagi kelmarin.

Tindakan itu menyebabkan mangsa mengalami pendarahan pada telinga selain berputih mata apabila mengalami kerugian lebih RM50,000 selepas pelbagai barangan kemas miliknya dilarikan suspek.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, mangsa bersama ibu dan anaknya berusia 29 tahun juga seorang guru berada dalam kediaman berkenaan sebelum mereka didatangi dua penyamun yang meluru masuk ke premis terbabit.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, ketika kejadian semua mangsa ketika itu berada di ruang tamu dan suspek yang bersenjata turut memakai topi keledar.

Beliau berkata, semua mangsa terkedu seketika selepas melihat kehadiran suspek yang bersenjatakan parang dan pisau kemudian mengarahkan mereka agar tidak membuat bising.

“Suspek kemudian membawa guru terbabit bersama ibunya masuk ke bilik dan mengurung dua beranak terbabit, manakala nenek guru itu dijadikan sebagai ‘tebusan’ di ruang tamu.

“Dalam keadaan cemas, suspek mengugut membunuh warga emas terbabit sekiranya guru itu bersama ibunya membuat bising atau enggan bekerjasama,” katanya.

Mior Faridalathrash berkata, dua suspek itu turut mengarahkan guru terbabit dan ibunya menanggalkan barang kemas yang dipakai dan akibat ketakutan, dua beranak itu hanya mampu mengikut arahan mereka.

Disiarkan pada: December 11, 2014 @ 8:52am
d