mutakhir

Buang pegawai pecah amanah

Kuala Lumpur: Setiap permohonan pinjaman kepada institusi kewangan perlu diuruskan sendiri pemegang MyKad dan tiada orang ketiga yang boleh menjadi wakil atau ejen untuk urusan berkaitan.

Presiden Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM), Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata, mana-mana kakitangan bank yang didapati terbabit dengan sindiket bagi tujuan kelulusan pinjaman secara salah berdepan tindakan tegas termasuk dibuang kerja.

Beliau mengakui terdapat kes menggunakan MyKad orang lain untuk mengemukakan permohonan pinjaman peribadi yang dijalankan sindiket tertentu dan perkara itu sudah dirujuk kepada polis untuk siasatan lanjut.

“Kalau ada kes seperti ini, kita akan ambil tindakan undang-undang. Pegawai pecah amanah seperti ini, kita buang. Memang tidak akan berkompromi walaupun hanya ada beberapa kes,” katanya kepada Harian Metro.

Mohd Redza berkata, berdasarkan amalan sedia ada, sukar untuk mana-mana individu menggunakan MyKad orang lain untuk memohon pinjaman kerana wang akan dimasukkan terus ke dalam akaun pemilik MyKad itu.

“Kalau dia ambil MyKad orang lain duit pinjaman akan masuk kepada akaun penama sebagai peminjam. Misalnya seseorang buat pinjaman peribadi, duit akan masuk kepada nama peminjam. Itu satu cara kita nak elakkan daripada berlaku penipuan,” katanya.

Disiarkan pada: December 11, 2014 @ 8:54am
d