mutakhir

Selamba main 'sorok-sorok'

Oleh Muhammad Hatim Ab Manan

Melaka: Tiga lelaki warga Kemboja sanggup memanjat siling menggunakan sambungan kain perca untuk menyembunyikan diri selepas menyedari kehadiran Jabatan Imigresen Melaka (JIM) di sebuah rumah teres dua tingkat didiami mereka di Taman Seri Tanjung Minyak, di sini, semalam.

Dalam serbuan jam 4 pagi itu, seorang daripada mereka yang berseluar dalam dan singlet sanggup masuk ke dalam tangki air di atas siling bagi mengelak diberkas.

Sebelum memanjat siling, mereka dikatakan terserempak dengan anggota imigresen di luar pagar rumah, namun enggan membuka kunci pintu dan bergegas naik ke tingkat atas rumah.

Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka yang berusia 20-an itu diberkas sejurus penguat kuasa imigresen memanjat siling dan mengesan kedudukan mereka.

Pemangku Pengarah Imigresen negeri Abu Bakar Sidek Hasan berkata, tiga lelaki Kemboja itu antara 76 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi di sekitar daerah Melaka Tengah.

“Pelbagai cara PATI menyembunyikan diri termasuk memanjat siling dan menyorok di dalam tangki air, selain seorang lagi warga Kemboja yang bertindak bersembunyi di dalam peti sejuk ketika serbuan di sebuah rumah sewa di Bukit Rambai.

“Kami melakukan operasi termasuk di kawasan perumahan selepas mendapat aduan penduduk sekitar. Selain kawasan perumahan, kami turut menyerbu kedai makan selepas ada maklumat PATI bekerja di restoran tanpa permit atau permit tamat tempoh,” katanya ketika ditemui selepas tamat operasi, semalam.

Operasi bermula jam 10 malam kelmarin hingga 10 pagi semalam membabitkan 32 pegawai imigresen.

Menurut Abu Bakar, hasil serbuan itu, 105 orang diperiksa membabitkan lima kawasan iaitu Taman Merdeka Permai, Bukit Katil Damai, Taman Seri Tanjung Minyak, Bukit Rambai dan Batu Berendam.

Pemeriksaan dilakukan di kedai makan, kawasan perumahan serta kilang dan seramai 76 PATI berusia 15 hingga 40 tahun diberkas atas pelbagai kesalahan iaitu 58 lelaki dan 18 perempuan.

Semua yang ditahan terdiri daripada 45 warga Myanmar, Bangladesh (11), Kemboja (sembilan), Indonesia (enam) dan Thailand (lima) yang disiasat mengikut Seksyen Peraturan 39b kerana melanggar syarat pas, 6(1)(c) kerana masuk negara ini tanpa permit yang sah dan seksyen 15(1)(c) kerana tamat tempoh permit.

Abu Bakar berkata, semua yang ditahan itu akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Machap Umboo di Alor Gajah bagi siasatan lanjut.

Disiarkan pada: December 12, 2014 @ 6:20am
d