mutakhir

Hasil siasatan diketahui Jun

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Sepang: Laporan siasatan Jawatankuasa Audit Bebas bagi menyiasat isu pemendapan di landasan dan parkir pesawat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dijangka dapat diketahui dalam tempoh enam bulan pertama tahun depan.

Jaminan itu diberikan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai selepas melawat kawasan mendapan yang dilaporkan terjejas, di sini, semalam.

Liow turut mengumumkan lima ahli bagi menganggotai Jawatankuasa Audit Bebas klia2 yang diketuai Presiden Persekutuan Institusi Kejuruteraan Asia dan Pasifik (FEIAP) Profesor Datuk Dr Chuah Hean Teik selain empat ahli lain.

Menurutnya, ahli lain termasuk Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharrudin Abd Rahman, Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya Datuk Annies Md Ariff, Ketua Pegawai Eksekutif G&P Professionals Sdn Bhd Datuk Dr Gue See Sew dan Pengurus Besar Petronas M Shobri Abu Bakar.

“Penubuhan jawatankuasa ini bagi menyiasat terperinci isu pemendapan di lapangan terbang berkenaan bertujuan menjamin keselamatan di lapangan terbang itu.

“Malah, jawatan kuasa sama juga dipertanggunjawabkan untuk memastikan klia2 mematuhi syarat dan piawaian yang ditetapkan,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Mohd Badlisham Ghazali.

Katanya, jawatankuasa itu diberi tempoh beberapa bulan untuk menyiasat kejadian itu sebelum laporan penuhnya didedahkan kepada umum.

Baru-baru ini, berlaku masalah takungan air di landasan dan parkir pesawat klia2, namun pada Oktober lalu, Tiong Lai menafikan perkara itu, malah ia tidak menjejaskan keselamatan operasi dan penerbangan di klia2.

Liow berkata, kerja pembaikan di kawasan takungan air di landasan dan parkir pesawat itu sudahpun bermula dan dan dilakukan segera.

Disiarkan pada: December 12, 2014 @ 7:30am
d