mutakhir

Waris tidak putus harapan

Kuala Lumpur: Ramai keluarga mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak Mac lepas, belum mahu menerima wang pendahuluan pampasan AS$50,000 (RM165,000) yang disediakan untuk setiap keluarga waris oleh syarikat penerbangan itu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata ini kerana anggota keluarga masih menaruh harapan bahawa penumpang MH370 selamat dan akan kembali ke pangkuan mereka.

“Kami sudah pun menghulurkan pampasan pendahuluan sebanyak AS$50,000 kepada ahli-ahli keluarga, malangnya ramai yang belum mahu mengambilnya kerana mereka masih menganggap bahawa ahli keluarga mereka masih hidup, kerana kita tak temui lagi pesawat mahupun mayat daripada tragedi MH370,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Raja Roopiah Raja Abdullah yang ingin tahu status pampasan yang diberikan kepada anggota keluarga mangsa MH370, pada persidangan Dewan Negara di sini, semalam.

Pesawat MH370 dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam perjalanan ke Beijing apabila ia hilang kira-kira sejam selepas memulakan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac lepas.

MAS menawarkan wang pendahuluan pampasan itu sebagai sebahagian daripada bayaran pampasan penuh kepada setiap keluarga mangsa.

Liow turut mengulangi pendirian kerajaan bahawa pencarian pesawat itu terus menjadi keutamaan dan kerajaan Malaysia komited dalam usaha pencarian bersama kerajaan Australia dan China.

“Sehingga kini operasi pencarian pesawat MH370 memasuki fasa operasi pencarian laut dalam yang diketuai Australian Transportation Safety Bureau. Operasi dimulakan Oktober lalu dan akan diteruskan dalam tempoh 12 bulan.

“Operasi pencarian laut dalam melibatkan penerokaan menyeluruh kawasan dasar laut yang dipetakan meliputi lebih daripada 9,600 kilometer persegi,” katanya.

Beliau berkata sekiranya pesawat MH370 ditemui di dasar laut, fasa seterusnya akan diteruskan iaitu ‘recovery phase’ untuk mendapatkan semula pesawat tersebut dari dasar laut. - BERNAMA

Disiarkan pada: December 12, 2014 @ 8:19am
d