mutakhir

Mata wanita hamba seks berdarah ditampar

Klang: Seorang wanita warga Indonesia terpaksa menjadi hamba seks kepada teman lelaki yang dikenali di negara ini sejak penghujung tahun lalu.

Wanita lingkungan 20-an itu terpaksa akur dengan ‘permintaan’ teman lelakinya itu sejak Januari lalu dan akan dipukul oleh suspek jika enggan melayani nafsu serakahnya.

Menurut sumber, dalam kejadian terbaru, mangsa dibawa teman lelakinya yang juga seorang pengawal keselamatan di hostel penginapan suspek di daerah ini pada Selasa lalu, kira-kira jam 10 malam.

Sumber berkata, sebaik tiba di hostel berkenaan, suspek kemudiannya memaksa mangsa melakukan hubungan seks dengannya namun permintaan teman lelakinya itu ditolak.

“Keengganan melakukan hubungan seks menyebabkan dia dipukul dan ditampar di beberapa kali di muka oleh suspek.

“Selepas mangsa ditampar, suspek terus merogolnya sebelum mangsa berjaya melarikan diri daripada hostel berkenaan kira-kira jam 6 pagi keesokannya dan membuat laporan polis,” katanya.

Sumber berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati, mangsa mengalami bengkak dan lebam di bawah mata kiri serta pendarahan dalam mata kiri akibat ditampar suspek.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan Superintendan Goh Lee Fook mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada mangsa berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, suspek kemudian ditahan di sekitar bandar ini awal pagi semalam untuk siasatan lanjut.

“Polis kini sedang menunggu laporan kesihatan daripada HTAR dan kes disiasat mengikut Seksyen 376, Kanun Keseksaan (KK) kerana merogol,” katanya.

Disiarkan pada: December 12, 2014 @ 9:03am
d