mutakhir

Ini tak adil!

Oleh Aizat Sharif

Kuala Lumpur: Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) menganggap tidak adil untuk menyalahkan pemandu bas semata-mata setiap kali berlaku kemalangan jalan raya membabitkan bas kerana penyebab kemalangan itu banyak.

Presidennya, Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata, punca sesuatu kemalangan membabitkan bas tidak boleh diletakkan pada bahu pemandu bas kerana ada banyak faktor lain yang mampu menyebabkan kemalangan.

“Punca kemalangan membabitkan bas banyak dan ada kalanya lebih berpunca kepada kesalahan atau kecuaian pengguna jalan raya lain, contohnya ada pengguna yang memandu dengan melulu tanpa mengikut peraturan dan had laju ditetapkan sehingga menyebabkan pemandu bas terbabit dalam kemalangan,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, berdasarkan keadaan semasa, cuaca juga turut memainkan peranan kepada penyebab kemalangan membabitkan bas.

“Cuaca sekarang yang sering hujan menyebabkan jalan menjadi licin, ditambah pula pertambahan trafik di jalan raya kerana cuti sekolah. Keadaan ini menyebabkan pemandu bas perlu mengambil langkah keselamatan berganda demi keselamatan penumpang, diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya.

Beliau mengakui ada segelintir pemandu bas terbabit dengan salah guna dadah dan pemandu ini sering dibanteras bukan sahaja oleh pihaknya, malah oleh agensi penguat kuasa termasuk Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

Beliau menafikan kemalangan bas yang banyak berlaku kebelakangan ini disebabkan keghairahan pemandu bas mengejar habuan perjalanan atau ‘trip’ kerana setiap waktu perjalanan, bas itu sudah diberi panduan ketetapan wajib oleh SPAD.

Disiarkan pada: December 13, 2014 @ 5:16am
d