mutakhir

Gunakan hak penguuna

Takut dan bimbang dengan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) adalah antara reaksi yang sering ditunjukkan pengguna di Malaysia ketika ini.

Pengguna sering dimomokkan bahawa semua barang akan mengalami kenaikan harga sedangkan tanpa GST, segelintir produk tetap berdepan kenaikan harga berikutan sentimen pasaran.

Ikuti temu bual Syarifah Dayana Syed Bakri dengan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selvaraj mengenai sisi pandangan pengguna terhadap pelaksanaan GST.

Apa kebimbangan yang sering disuarakan pengguna dengan pengumuman kerajaan untuk melaksanakan GST?

Antara perkara yang membimbangkan pengguna adalah berkaitan kenaikan harga barang selepas pelaksanaan GST kerana ia secara tidak langsung akan menyebabkan pengguna terpaksa berbelanja lebih sedangkan kebanyakan individu tidak menerima kenaikan gaji setimpal.

Namun, ada kalanya kenaikan harga barang yang berlaku bukan disebabkan pelaksanaan GST sebaliknya berikutan keadaan pasaran seperti keadaan cuaca yang mungkin menyebabkan beberapa senarai produk perlu dikenakan harga lebih tinggi.

Tetapi, kebanyakan pengguna tidak faham mekanisme ini dan akan menyalahkan GST sekiranya berlaku peningkatan harga.

Apa tindakan yang perlu diambil untuk mengurangkan sentimen menyalahkan GST sekiranya berlaku kenaikan harga?

Kerajaan perlu mengambil berat dan menguatkuasakan Akta Anti-Pencatutan 2011 bagi mengembalikan keyakinan pengguna. Ini kerana pengguna hanya akan menyalahkan pihak berkuasa sekiranya terdapat barangan yang dinaikkan harga.

Walaupun memang benar ada segelintir produk akan mengalami kenaikan harga, namun barangan berkaitan pengguna khususnya produk kegunaan harian dimasukkan dalam kategori kadar sifar iaitu tiada cukai dikenakan ke atasnya.

Penguatkuasaan ini penting kerana kebarangkalian harga meningkat tanpa kawalan mungkin berlaku dan tanpa tindakan daripada pihak berkuasa ia akan membuatkan pengguna marah kerana berasa ditindas.

Kerajaan juga perlu mewujudkan pusat panggilan di mana pengguna boleh membuat aduan sekiranya terdapat peniaga menaikkan harga sesuka hati.

Malah, buku Panduan Pembeli (Shopper’s Guide) perlu diterbitkan lebih awal supaya pengguna dapat merancang perbelanjaan mereka.

Apa tindakan yang perlu diambil pengguna untuk memastikan mereka tidak perlu membeli produk yang dikenakan cukai?

Pengguna perlu mendapatkan maklumat berkaitan senarai barangan yang dikenakan cukai kadar standard, kadar sifar dan dikecualikan cukai.

Ini sebagai langkah persediaan untuk membuat senarai produk yang perlu dibayar lebih mahal kerana dikenakan GST atau mereka boleh berjimat dengan memilih produk yang tidak dikenakan cukai.

Pengguna juga perlu menggunakan hak mereka dan membuat aduan kepada pihak berkuasa sekiranya ada peniaga yang bertindak sesuka hati termasuk dalam aspek meletakkan harga pada produk yang dijual.

Sebagai contoh, terdapat segelintir peniaga sudah memulakan kempen jualan murah praGST dengan mesej bahawa barang yang dijual akan menjadi lebih mahal sekiranya dibeli selepas April 2015.

Kempen seumpama ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia hanya akan menyebabkan pengguna panik seolah-olah semua barangan akan menjadi lebih mahal selepas GST kelak.

Dengan pelaksanaan GST, adakah kualiti hidup pengguna akan menjadi lebih baik?

Ini adalah antara persoalan yang sering menyelubungi fikiran kita semua. Dengan kutipan daripada GST, apakah yang akan diterima rakyat? Adakah hidup kita lebih baik atau sama saja seperti sebelum ini?

Kita semua meletakkan harapan tinggi agar kutipan daripada GST dapat dizahirkan dalam bentuk pembangunan yang lebih baik untuk negara termasuk infrastruktur, kesihatan, pendidikan dan kebajikan rakyat.

Kita mahu kehidupan yang lebih baik dan pengurusan kewangan yang lebih baik daripada kerajaan tanpa sebarang ketirisan.

Jika penyelewengan berlaku, ia akan menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap kerajaan dan mungkin berasa terbeban dengan GST.

Apakah harapan rakyat terhadap kerajaan dalam aspek pelaksanaan GST?

Rakyat mahu tindakan tegas daripada kerajaan terhadap peniaga yang melanggar undang-undang. Jika mereka menaikkan harga barang, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas sebagai pengajaran dan amaran kepada peniaga lain.

Selain itu, kerajaan juga perlu lebih telus dalam mentadbir negara terutama dalam perkara membabitkan perbelanjaan. Bagaimana wang yang ada dibelanjakan adalah sangat penting kerana ia adalah sebahagian hak rakyat.

Kerajaan boleh meningkatkan keyakinan rakyat melalui cara pentadbiran yang lebih baik.

Apakah cadangan FOMCA untuk membantu rakyat membezakan barangan yang dikenakan cukai dan tidak dikenakan cukai?

Antara cadangan yang pernah dikemukakan adalah penggunaan label pada setiap produk untuk membezakan item mana dikenakan cukai pada kadar standard atau kadar sifar.

Ini kerana penggunaan label dapat membantu pengguna membuat pilihan dengan lebih baik. Sekiranya sesuatu produk itu sudah ditandakan sebagai dikenakan cukai, maka pengguna bersedia untuk membayar lebih dan mereka mungkin tidak akan rasa terbeban untuk membayar cukai berkenaan.

Sebaliknya berlaku jika tiada sebarang label diletakkan pada produk di mana pengguna hanya mengetahui ia dikenakan cukai ketika proses pembayaran mahu dibuat.

Ini akan menyebabkan pengguna berasa tertipu dan boleh menyebabkan salah faham antara pengguna dan pengendali pasar raya.

Apakah langkah yang perlu pengguna ambil tahu dalam menghadapi GST?

Langkah pertama adalah dengan membuat persediaan kewangan yang baik. Pengguna perlu lebih sensitif dengan barang yang diperlukan dan mungkin perlu mengenepikan barang bukan keperluan.

Selain itu, gunakan buku Panduan Pengguna sebelum keluar membeli-belah untuk menganggarkan harga barangan yang akan dibeli.

Namun, yang lebih utama adalah gunakan kuasa kita sebagai pengguna sekiranya terdapat peniaga yang tidak bertanggungjawab. Jangan takut untuk membuat aduan kepada pihak berkuasa sekiranya ada peniaga yang menaikkan harga secara melampau atas alasan GST.

Sekiranya pengguna berani mempertahankan hak, maka ia akan memberi satu gambaran kepada peniaga bahawa pengguna serius melindungi hak mereka.

Pengguna juga perlu tahu berkaitan turun naik pasaran terutama membabitkan barang mentah seperti sayur, ikan, ayam dan daging. Produk seumpama itu mempunyai turun naik harga yang banyak ditentukan faktor luar kawalan seperti keadaan cuaca atau kekurangan bekalan.

Apa peranan FOMCA dalam mendidik pengguna menghadapi GST?

Kami turut mengadakan program kesedaran dengan pengguna untuk memastikan mereka benar-benar faham bagaimana GST itu berfungsi.

Bukan semua cukai itu sesuatu yang negatif dan kita perlu melihat ia secara positif. Sama ada suka atau tidak, GST tetap akan dilaksanakan pada tahun depan.

Kami turut bertanggungjawab untuk menjelaskan bagaimana sistem GST berfungsi dan dilaksanakan. Ia akan diterjemahkan dalam bentuk lebih baik untuk manfaat kepada rakyat.

Namun, apa yang lebih utama adalah pengguna berharap hasil daripada GST dapat diuruskan dengan lebih baik untuk mengelakkan penyelewengan.

Adakah rakyat Malaysia secara amnya faham mengenai GST dan apa yang perlu dilakukan pihak kerajaan untuk memastikan rakyat bersedia menghadapi sistem cukai ini?

Pendidikan berkaitan kewangan seharusnya dimulakan dari peringkat sekolah. Pelajar perlu didedahkan dengan cara pengurusan kewangan yang lebih baik supaya ia dapat diamalkan apabila dewasa.

Melalui pendidikan, kita dapat melahirkan generasi celik kewangan yang tahu menguruskan perbelanjaan mereka dan mengelakkan daripada terjebak dalam gaya hidup yang memerlukan perbelanjaan tinggi.

Kerajaan perlu mengambil serius perkara ini dan memulakan pendidikan kewangan dalam kalangan pelajar sekolah kerana jika maklumat seumpama ini ingin diterapkan di kalangan mereka yang sudah dewasa, ia boleh dianggap sebagai sudah terlewat.

Jika mereka sudah faham mengenai pengurusan kewangan, berdepan dengan sistem cukai tidak akan menjadi satu isu besar.

Kesimpulannya, apakah nasihat FOMCA terhadap pengguna yang sering dimomokkan dengan pelaksanaan GST?

Pengguna tidak seharusnya takut dengan pelaksanaan GST sekiranya mereka tahu apa barang yang dikenakan cukai dan dikecualikan cukai.

Pengguna juga perlu tahu tahap kemampuan mereka dan pastikan mereka mengekalkan cara hidup sederhana untuk mengelakkan daripada terpaksa berbelanja lebih hanya kerana membeli barang yang dikenakan GST.

Banyak cara untuk mengelak daripada membayar GST dan antara caranya adalah memilih produk yang dikenakan kadar sifar memandangkan kerajaan sudah menyenaraikan lebih 900 produk yang dikenakan cukai berkadar sifar.

Jangan takut gunakan hak sebagai pengguna dan buatlah aduan segera sekiranya ada peniaga yang tidak jujur dalam menjalankan aktiviti perniagaan.

Disiarkan pada: December 13, 2014 @ 5:19am
d