mutakhir

Premis simpan plastik musnah

Kuala Pilah: Dua premis penyimpanan barangan plastik milik SWM Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Beting, dekat sini, musnah terbakar, petang kelmarin.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah Pegawai Kanan Bomba II Adnan Awalluddin berkata, anggota bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 5.57 petang daripada orang ramai.

“Sejurus menerima panggilan, lapan anggota termasuk saya bergegas ke tempat kejadian dengan dibantu oleh Balai Bomba dan Penyelamat Bahau.

“Kami mendapati dua premis itu sudah 60 peratus terbakar kerana terdapat longgokan tayar dan plastik serta barangan mudah terbakar,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, anggota bomba berjaya mengawal api dari merebak ke premis berhampiran berikutan kawasan itu berkonsepkan terbuka.

“Kerja pemadaman berjalan lancar dan anggota bomba berjaya memadamkan api sejam kemudian,” katanya.

Adnan berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: December 13, 2014 @ 5:21am
d