mutakhir

Pemandu, kelindan nyaris rentung

Kuantan: Seorang pemandu lori bersama kelindannya nyaris rentung apabila kenderaan dinaiki terbakar di Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan dekat Semambu, petang kelmarin.

Kejadian kira-kira 3.15 petang itu menyebabkan hampir keseluruhan bahagian kepala lori berkenaan hangus malah turut memusnahkan muatan tayar yang berada di dalam lori itu.

Seorang saksi yang enggan namanya disiarkan berkata, dia melihat lori yang menghala ke Kuala Lumpur itu berhenti di bahu jalan sebelum pemandu dan pembantunya segera meninggalkan kenderaan mereka apabila melihat asap keluar pada bahagian enjin.

Menurutnya, mereka cuba memadam kebakaran berkenaan tetapi tidak berjaya apabila api merebak begitu cepat pada bahagian kepala serta bahagian badan kenderaan berat terbabit.

“Pengguna yang melalui jalan berkenaan juga tidak dapat membantu memadam kebakaran berkenaan berikutan api terlalu marak dan asap hitam yang tebal.

“Saya dan beberapa individu lain hanya mampu melihat saja kejadian terbabit kerana bimbang berlakunya letupan,” katanya.

Katanya, angin kencang semasa kejadian menyebabkan api cepat merebak dan memusnahkan sebahagian kepala lori terbabit berwarna kuning itu dalam masa yang singkat.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Anuar Hassan berkata, sebuah jentera bersama lima anggota bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan dari orang awam.

“Kita mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memadam api pada bahagian kepala lori terbabit termasuk beberapa tayar yang diletakkan di bahagian belakang kenderaan itu.

“Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan. Saya menasihatkan kepada pemandu kenderaan berat supaya sentiasa memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan baik bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Disiarkan pada: December 13, 2014 @ 5:22am
d