mutakhir

Sembilan ditahan

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Shah Alam : Selepas beberapa hari diburu pihak berkuasa berikutan terbabit dalam insiden pergaduhan dengan penyokong pasukan bola sepak Vietnam ketika perlawanan separuh akhir Piala AFF, Ahad lalu, akhirnya sembilan suspek ditahan polis.

Semua suspek berusia antara 19 dan 29 tahun ditahan dalam operasi di sekitar Lembah Klang dan Johor serta mendapat perintah tahanan reman empat hari bermula semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, semua suspek direman hingga Isnin depan bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

“Lima daripada mereka ditahan di Johor, manakala masing-masing dua di Shah Alam dan Kuala Lumpur dalam operasi dari jam 10.30 malam kelmarin hingga pagi semalam.

“Polis akan melanjutkan tahanan reman terhadap mereka jika laporan tidak lengkap dan kertas siasatan akan dilengkapkan secepat mungkin sebelum diserah kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.

Mohd Adnan berkata, pihaknya masih mengesan enam individu dipercayai terbabit dalam insiden itu dan meminta mereka memberi kerjasama dengan tampil ke balai polis berdekatan bagi memberi keterangan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan individu yang dicari diminta menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Mohd Amirul Abdullah di talian 012-4748870 atau Asisten Superintendan Chang Sing Kong di 016-7723336,” katanya.

Dalam kejadian Ahad lalu, seorang penyokong Vietnam cedera ringan selepas diserang sekumpulan penyokong bola sepak Malaysia dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF 2014 di Stadium Shah Alam.

Berikutan daripada beberapa siri laporan akhbar sejak beberapa hari lalu, tujuh individu dipercayai terbabit memukul penyokong Vietnam tampil memberikan keterangan.

Disiarkan pada: December 13, 2014 @ 5:23am
d