mutakhir

Rugi RM50,000 akibat rumah retak

Oleh Ikram Ismail

Kuala Lumpur: Kira-kira 30 peratus daripada 949 pemilik rumah projek perumahan di Taman Bayu Permai, Pengerang, Johor mendakwa mengalami kerugian sekurang-kurangnya RM50,000 setiap seorang berikutan struktur rumah mereka mengalami keretakan teruk walaupun fasa pertama baru siap, awal Mei lalu.

Ini berikutan kebanyakan mereka membuat pengubahsuaian rumah, tetapi kediaman itu terpaksa dirobohkan kerana masalah berkenaan.

Penduduk mendakwa, pembangunan tergesa-gesa di atas tanah paya seluas 156 hektar di Kampung Dato Abdul Ghani Othman untuk pembangunan rumah banglo setingkat serta unit kedai berkenaan adalah punca keretakan struktur rumah mereka.

Projek taman itu adalah skim pemilikan rumah untuk penduduk dari Kampung Sungai Kapal, Kampung Langkah Baik, Kampung Teluk Empang, Kampung Jawa, Kampung Sungai Buntu dan Kampung Sebong yang terbabit dengan pengambilalihan untuk projek Kompleks Petroleum Bersepadu (Pengerang Integrated Petroleum Complex-PIPC).

Ada empat kategori rumah bersaiz 750 kaki persegi, 1,000 kaki persegi, 1,300 kaki persegi dan 1,600 kaki persegi berharga antara RM120,000 hingga RM245,000 seunit.

Tahir Aris, 61, yang mewakili 150 keluarga dari Kampung Jawa berkata, sebanyak 50 rumah dikategorikan sebagai rosak teruk dan perlu dirobohkan.

"Ada yang senget, lantai mendap, saliran paip pecah dan banyak lagi. Disebabkan masalah ini, ramai penduduk tidak mahu berpindah dari rumah asal selagi kecacatan kecil atau besar tidak diperbaiki," katanya.

Tahir yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pengerang berkata, perbincangan kini giat dilakukan antara enam ketua kampung terbabit dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor, kerajaan negeri dan Perbadanan Pembangunan Petroleum Johor (JPDC) untuk menyelesaikan masalah itu.

Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Kapal, Abdul Kadir Ahmad, 68, mempersoalkan kenapa kunci rumah diserahkan tanpa memastikan keadaan rumah adalah sempurna.

"Penduduk kampung ingat bila kunci diserahkan, bermaksud rumah selamat. Namun apabila pindah masuk dan menduduki tidak sampai lima bulan, rumah mengalami kerosakan sedangkan taklimat menyatakan rumah adalah selamat," katanya.

Menurut Abdul Kadir, pihak berwajib juga tidak peka kepada masalah penduduk ketika keretakan awal diadukan.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: December 14, 2014 @ 5:03am
d