mutakhir

Banteras ekstremis gugat keselamatan

Kuala Lumpur: Kerajaan memerlukan sokongan semua lapisan masyarakat dalam usaha membanteras kegiatan puak ekstremis daripada menggugat keselamatan dan keharmonian negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata, ancaman kegiatan ekstremis seperti kumpulan militan dikenali IS tidak boleh dipandang ringan oleh masyarakat dan ia perlu ditangani daripada menular.

“Sehingga kini, 39 rakyat kita daripada pelbagai latar belakang ditahan kerana terbabit dengan serta menyokong aktiviti IS.

“Walaupun kejadian (kegiatan militan) ini berlaku di Syria, tapi andainya ia berlaku di sini, ia akan merosakkan keharmonian kaum dan menggugat keselamatan negara dan ekonomi kita,” katanya pada perasmian perhimpunan tahunan Persekutuan Persatuan-persatuan Foochow Malaysia di sini, semalam.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentangkan kertas putih mengenai ancaman militan IS di Dewan Rakyat manakala satu undang-undang baru akan digubal tahun depan untuk mengekang ancaman dan penularan aktiviti pengganas di negara ini.

Dalam pada itu, Wee yang juga Timbalan Presiden MCA berkata, sikap dan nilai keusahawanan, rajin, cermat dan bersatu masyarakat Foochow yang tinggi menjadi pendorong penting masyarakat itu berjaya dalam semua bidang diceburi.

“Misalnya, jika mahu memulakan sesuatu perniagaan, peniaga Foochow biasanya akan membantu sesama sendiri dalam memastikan perniagaan yang diceburi berjaya,” katanya.

Wee berkata, masyarakat itu juga melahirkan ramai pemimpin ternama dalam pelbagai bidang di negara ini.

Antaranya bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Ting Chew Peh dan bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik, ahli perniagaan paling kaya di Malaysia Tan Sri Robert Kuok dan hartawan media Tan Sri Tiong Hiew King. - BERNAMA

Disiarkan pada: December 14, 2014 @ 5:11am
d