mutakhir

7,000 berpesta air

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Mohd Hasbi Sidek

Shah Alam: Program Gempak Santai Harian Metro (GSHM) di WaterWorld@i-City yang membuka tirainya semalam dimeriahkan dengan kunjungan kira-kira 7,000 pengunjung dari seluruh negara.

Program GSHM dirasmikan Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro Abdul Ghafar Ismail bersama Pengerusi i-Berhad Tan Sri Lim Kim Hong yang turut disaksikan Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI) Harian Metro Ahmad Salim Bachok.

Abdul Ghafar berkata, program diadakan selama dua hari bermula semalam hingga hari ini adalah penghargaan buat pembaca setia yang sentiasa memberi sokongan kepada Harian Metro.

Menurutnya, program bersifat kekeluargaan itu bukan hanya memberi tumpuan kepada hiburan, tetapi secara tidak langsung mengeratkan hubungan kekeluargaan dalam kalangan pembaca.

“Dengan kemudahan di taman tema ini tentu pembaca terhibur dan dapat meluangkan masa berkualiti bersama keluarga terutama ketika musim cuti sekolah.

“Saya juga berterima kasih kepada i-City kerana sudi bekerjasama dengan Harian Metro dan dengan sambutan menggalakkan ini, Harian Metro akan menganjurkan pelbagai program pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Lim berkata, i-City berbesar hati kerana dapat bekerjasama untuk kali kedua bersama Harian Metro menganjurkan program Gempak Santai yang sebelum ini diadakan pada 2012.

Beliau berkata, kerjasama erat ini akan diteruskan pada masa akan datang dan gembira kerana taman tema WaterWorld@i-City sekali lagi dipilih sebagai lokasi program.

“Ini peluang untuk orang ramai berkunjung ke taman tema ini selain menikmati pelbagai tarikan di i-City,” katanya.

Acara kemuncak GSHM pada sebelah malam dengan konsert akan menampilkan barisan penyanyi popular tanah air seperti Encik Mimpi, Sixth Sense, Adel dan Anis Aneesa di Pentas Utama i-Walk dan diacarakan Azrul Raja Lawak.

Disiarkan pada: December 14, 2014 @ 5:14am
d