mutakhir

Bergaduh elak perhatian

Kuala Lumpur: Dua lelaki warga Afrika menggunakan helah ternampak suami isteri sedang bergaduh sebagai punca bunyi bising untuk memperdayakan seorang pengawal keselamatan selepas menyamun dua lelaki di sebuah hotel lima bintang di Jalan Tun Razak, Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, mangsa lelaki tempatan berasal dari Sarawak dan rakyat Hong Kong disamun wang tunai dan produk jualan mereka membabitkan kerugian RM349,000 selain parah ditetak dengan parang oleh dua lelaki warga Afrika yang berpura-pura mahu berurus niaga dengan mereka .

Pemangku Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Deputi Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, selepas menyamun mangsa suspek melarikan diri melalui lif dan terserempak dengan seorang pengawal keselamatan.

“Ketika itu, pengawal keselamatan itu menyoal kedua-dua suspek mengenai bunyi bising dari bilik mangsa dan suspek menyatakan sepasang suami isteri sedang bergaduh,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, suspek kemudian meninggalkan hotel bagaimanapun kamera litar tertutup (CCTV) hotel dapat merakam imej suspek.

Menurutnya, mangsa rakyat Hong Kong masih lemah dan belum sedarkan diri selepas menjalani pembedahan akibat kesan tetakan.

“Berdasarkan keterangan awal daripada mangsa rakyat tempatan itu, rundingan mengenai jam tangan dan beg tangan berjenama seludup itu pada awalnya dilakukan di lobi hotel sebelum mangsa membawa suspek ke biliknya untuk menunjukkan wang untuk perniagaan itu,” katanya.

Disiarkan pada: December 14, 2014 @ 5:17am
d