mutakhir

Pekerja kilang terbunuh motosikal terperosok bawah treler

Seremban: Seorang pekerja kilang terbunuh selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum terperosok di bawah treler di Jalan Senawang 2, Senawang, semalam.

Dalam kejadian jam 12.10 tengah malam itu, mangsa Noor Hizam Aziz, 40, menunggang motosikal Honda Wave 110cc dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Cita Jaya, Kuala Pilah.

Jurucakap polis berkata, siasatan awal kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan dan terbabas di bawah treler tanpa muatan dari arah sama yang membelok ke satu simpang di situ.

Katanya, ketika itu separuh daripada badan treler sudah memasuki simpang kanan menyebabkan motosikal itu melanggar tayar belakang sebelah kanan dan terkena pada satu besi di bawah kenderaan itu.

“Akibat pelanggaran kuat itu, mangsa parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayatnya dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ untuk bedah siasat,” katanya.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: December 14, 2014 @ 5:17am
d