mutakhir

Peneman derita

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Seremban: “Hidup saya ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Pada mulanya, anak bongsu yang baru lahir disahkan menghidap jantung berlubang dan selepas dua bulan menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), suami pula tiba-tiba jatuh sakit dan lumpuh seluruh badan.

Itu luahan Siti Salbiah Kamaruddin, 33, ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di Taman College Height, Sikamat, Seremban.

Siti Salbiah berkata, suaminya, Husin Ahmad, 42, yang mempunyai penyakit darah tinggi secara tiba-tiba diserang angin ahmar dan sawan ketika sedang tidur pada 28 Disember 2012.

Menurutnya, suaminya dibawa ke HTJ untuk menerima rawatan dan tidak sedarkan diri selama enam hari dan terpaksa menjalani pembedahan.

“Doktor mengesahkan, suami mengalami pendarahan otak kiri dan peluang untuk sembuh amat tipis. Tempurung kepala kirinya terpaksa dikeluarkan

“Saya bernasib baik kerana kakak sanggup menjaga anak bongsu saya yang kini berusia dua tahun. Manakala dua lagi anak berusia empat dan lima tahun dijaga ibu saya yang tinggal di Bentong, Pahang kerana saya perlu menjaga suami yang sakit,” katanya.

Difahamkan, sebelum ini, Husin adalah juruteknik di kilang di Seremban manakala Siti Salbiah bekerja di sebuah syarikat swasta.

“Mujur suami mendapat pencen Ilat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) RM1,149 sebulan.

“Selain itu, saya mendapat bantuan saudara-mara dan adik-beradik untuk menampung perbelanjaan. Manakala susu dan lampin pakai buang suami pula atas sumbangan Baitulmal,” katanya.

Beliau berkata, suaminya juga perlu mendapatkan rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) menyebabkan dia terpaksa menyewa ambulans.

“Saya amat berharap ada pihak sudi membantu,” katanya.

Sumbangan boleh disalurkan kepada Siti Salbiah menerusi akaun CIMB bernombor 05100034575523.

Disiarkan pada: December 15, 2014 @ 5:13am
d