mutakhir

Majlis berendoi 20 bayi

Sabak Bernam: Budaya berendoi dalam kalangan masyarakat Melayu bagi menyambut kelahiran bayi diteruskan apabila Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Sabak Bernam menganjurkan majlis berendoi beramai-ramai bagi menyambut kelahiran 20 bayi semalam.

Majlis itu diadakan di Pejabat Parlimen Sabak Bernam di Bagan Nakhoda Omar di sini, pagi semalam, bagi menghidup serta menyemarakkan semula budaya berkenaan.

Ketua Puteri Bahagian Sabak Bernam Nor Farhana Alham berkata, penganjuran majlis itu dapat mengeratkan semangat muafakat dikalangan penduduk setempat selain memberi kesedaran kepada generasi baru untuk mengenali keunikan adat dan budaya warisan Melayu.

“Pelbagai aktiviti diadakan bagi memastikan kemeriahan majlis ini termasuklah persembahan marhaban dan lagu ‘Dendang Siti Fatimah’ oleh kumpulan Dendang Siti Fatimah Kampung Banting, pertandingan baju bayi tercantik, buaian paling kreatif dan juga cabutan bertuah,” katanya.

Salah seorang peserta, Nurul Ain Abdul Wahid, 29, berharap majlis seumpama itu akan dijadikan acara tahunan oleh masyarakat di daerah itu.

Katanya, majlis berendoi memberi peluang kepada dirinya serta ibu muda lain melihat adat yang semakin dilupakan masyarakat.

Disiarkan pada: December 15, 2014 @ 5:16am
d