mutakhir

Jenuh tunggu tidak tiba

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: “Malam tadi (kelmarin) mendiang sempat menghubungi ibunya memberitahu dia dan tiga rakannya dalam perjalanan pulang ke Jitra selepas selesai menghadiri majlis perkahwinan di Kuala Lumpur.

“Kami tunggu kepulangannya pagi ini (semalam) kerana dia sepatutnya pergi kerja di sebuah hotel di Alor Setar jam 7 pagi, tetapi tak sampai sehinggalah saya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan kereta yang dinaiki mereka terbabit kemalangan,” kata S Maniam.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa, M Sivaraj, 23, yang duduk di tempat penumpang hadapan maut akibat parah di badan dan kepala dalam nahas di Kilometer 42.6 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Jitra apabila melanggar pokok.

Difahamkan, dua rakan mangsa cedera ringan manakala pemandu kereta itu parah dan dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.

Maniam, 52, yang juga bapa mangsa berkata, dia terkejut menerima berita kemalangan yang membabitkan anak sulung daripada empat beradik itu sebelum bergegas ke HSB kerana sebelum itu dia tidak dimaklumkan mengenai keadaan mangsa.

Katanya, sebaik tiba di Unit Kecemasan HSB, pihak hospital memaklumkan Sivaraj sudah meninggal dunia manakala tiga rakan baiknya terselamat dan dirawat di hospital.

“Hubungan mereka berempat sangat rapat dan tak sangka berakhir dengan tragedi seperti ini. Sebagai bapa, saya terima segala yang berlaku walaupun berat kehilangan anak sulung yang menjadi tonggak keluarga.

“Sivaraj dan pemandu kereta, Sivaguru, 23, menuntut di Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam peringkat sarjana dalam Pengajian Jarak Jauh (PJJ) dan mereka ke Kuala Lumpur untuk menghadiri kenduri rakan mereka.

“Mendiang anak saya sangat rajin belajar dan bekerja untuk mengumpul wang selain membantu adik beradik lain yang masih belajar,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSB, di sini, semalam.

Maniam berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya pada Jumaat lalu ketika berselisih dengan kereta mangsa pada jam 7 malam ketika Sivaraj hendak keluar berjumpa rakannya.

Katanya, mereka sempat memberi lampu kenderaan masing-masing dan pada malam itu, Sivaraj memberitahu dia mahu ke Kuala Lumpur.

Mayat mangsa dituntut keluarganya untuk dibawa pulang ke Taman Osman Aroff, Jitra selepas dibedah siasat untuk urusan pengebumian, petang semalam.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar Sapuri Din berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 7.34 pagi dan tiba di lokasi kejadian jam 7.41 pagi bersama tujuh anggota dan dua jentera termasuk EMRS.

Beliau berkata, setibanya di tempat kejadian, seorang daripada empat penumpang kereta terbabit tersepit di tempat duduk penumpang dan pihaknya berusaha mengeluarkan mangsa.

Jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan laporan berhubung kemalangan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian.

Disiarkan pada: December 15, 2014 @ 5:17am
d