mutakhir

Kali ketiga sangkut terus

Oleh Hayati Ibrahim

Sepang: Cubaan kali ketiga seorang lelaki warganegara India menyeludup dadah ke negara ini gagal apabila ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (JDKM KLIA), kelmarin.

Pengarah Kastam KLIA Datuk Chik Omar Chik Lim berkata, suspek seorang penuntut kolej di India berusia 27 tahun ditahan di Balai Ketibaan KLIA selepas tiba dari Chennai, India jam 6.30 petang.

“Hasil imbasan terhadap beg beroda dibawanya menemui imej mencurigakan dan pemeriksaan rapi yang dibuat menemui beberapa bungkusan serbuk putih disorok dalam ruangan khas bagasinya.

“Selepas diuji serbuk putih itu positif dadah jenis Methamphetamine (syabu) dengan berat kasar 5.34 kilogram (kg) bernilai RM1,014,600,” katanya, semalam.

Chik Omar berkata, maklumat pada pasport mendapati suspek sudah tiga kali masuk ke negara ini dan dia kini direman tujuh hari untuk siasatan lanjut.

Katanya, beliau juga tidak menolak kemungkinan dadah yang diseludup adalah untuk pasaran tempatan.

Sementara itu, beliau berkata, JKDM KLIA turut mematahkan satu lagi cubaan menyeludup dadah jenis Methamphetamine (syabu) dengan berat kasar 1.5 kg bernilai RM285,000 dengan penahanan seorang wanita warga Australia, 7 November lalu.

Katanya, wanita berusia 51 tahun itu dalam perjalanan dari Shanghai, China dan transit di KLIA sebelum meneruskan perjalanan ke Melbourne, Australia.

“Wanita itu ditahan ketika melalui kaunter imigresen selepas imbasan mendapati terdapat imej mencurigakan, dan pemeriksaan rapi ke atas beg sandang yang dibawanya menemui sebungkus plastik lut sinar mengandungi serbuk putih yang disorok di ruangan khas beg itu.

“Siasatan awal mendapati suspek mengembara seorang diri dan kini direman selama 14 hari untuk siasatan lanjut.

“Pesuruhjaya Tinggi Australia sudah dimaklumkan mengenai penahanan itu dan kami bekerjasama rapat dengan mereka untuk memberikan bantuan diperlukan wanita terbabit,” katanya.

Suspek akan didakwa sama ada Khamis atau Jumaat ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Chik Omar berkata, penahanan dua suspek itu membawa kepada kejayaan JDKM KLIA mematahkan cubaan menyeludup dadah seberat 6.84 kg bernilai RM1.3 juta dalam tempoh seminggu.

Katanya, kedua-dua kes menggunakan modus operandi (MO) sama iaitu menyorokkan dadah dalam ruangan khas bagasi dan MO ini sering digunakan untuk penyeludupan dadah di negara ini.

Menurutnya, sepanjang tahun ini 22 individu sudah ditahan dan 18 daripadanya adalah warga negara asing kerana cuba menyeludup dadah ke negara ini melalui KLIA.

Disiarkan pada: December 16, 2014 @ 8:55am
d