mutakhir

19 mangsa banjir babit 4 keluarga dipindahkan

Kota Bharu: Seramai 19 orang membabitkan empat keluarga di Kampung Tok Kundur, Pasir Puteh dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kawasan berkenaan dinaiki air sejak malam kelmarin.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan Azhar Mohamad Yusof berkata, semua keluarga itu dipindahkan ke PPS di Sekolah Kebangsaan Wakaf Raja, Pasir Puteh dan tiada kawasan lain terbabit.

“Semua mangsa terdiri daripada tujuh dewasa dan 12 kanak-kanak dan sehingga 6 petang, tiada pertambahan mangsa.

“Pemindahan dilakukan berikutan limpahan air Sungai Semerak, Pasir Puteh berikutan hujan tanpa henti sejak Isnin lalu.

“Sekiranya hujan masih berterusan kita jangkakan bilangan mangsa akan bertambah dan kita sentiasa bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam.

Sementara itu, laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia memaparkan paras Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah berada pada paras amaran dengan catatan 23.08 meter berbanding 19 meter (normal).

Situasi sama berlaku di Rantau Panjang apabila Sungai Golok mencatatkan paras berjaga dengan 7.68 meter berbanding 5 meter (paras normal).

Turut melepasi tanda berjaga-jaga adalah Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai (27.01 meter) dan Sungai Pergau di Air Bol, Jeli (71.86 meter).

Disiarkan pada: December 17, 2014 @ 8:20am
d