mutakhir

Pertimbang wujud bank tanah

BERNAMA

Putrajaya

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan mempertimbangkan untuk mewujudkan konsep Bank Tanah khusus untuk pembinaan rumah mampu milik di lokasi strategik.

Beliau berkata, perkara itu tertakluk kepada kemampuan kerajaan untuk menyediakan dana bagi mendapatkan tanah terbabit dan ia dipertimbangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11.

Beliau berkata, konsep Bank Tanah diwujudkan bagi keperluan jangka masa sederhana dan panjang terutama di kawasan bandar yang harga tanahnya semakin meningkat.

“Kalau kita buat rumah berjauhan dari bandar, mereka akan menanggung perbelanjaan yang lebih besar dari segi kos pengangkutan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Perumahan Negara di Bangunan Perdana Putra di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Pengerusi Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis.

Najib turut meminta kerajaan negeri dan pusat memperkemas hubungan melalui konsep perkongsian bersama dalam pelaksanaan projek perumahan mampu milik supaya pembinaannya diterima sebagai tanggungjawab bersama.

Beliau berkata, kerajaan menyasarkan pembinaan satu juta unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun akan datang yang digerakkan sektor awam dan swasta seperti dalam janji Barisan Nasional pada Pilihanraya Umum Ke-13.

“Ini termasuk 500,000 oleh Perbadanan PR1MA, Syarikat Perumahan Negara Berhad 100,493 unit dan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia 100,000 unit dan agensi lain, ” katanya.

Beliau berkata, Majlis Penasihat PR1MA akan mengadakan satu mesyuarat pada awal tahun depan bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri untuk mencari kaedah baharu mempercepatkan kelulusan pembinaan projek PR1MA.

Sementara itu, Jamaluddin berkata, kerajaan akan mewujudkan Bank Tanah dengan membeli tanah terutamanya daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan estet bagi mewujudkan komuniti di pinggir bandar.

“Ini susulan keperihatinan Perdana Menteri yang sedar harga tanah yang semakin meningkat dan tanah merupakan sumber yang penting untuk membuat rumah. Kalau harga tanah semakin tinggi, ia menyebabkan kos rumah semakin meningkat.

“Perdana Menteri mengambil keputusan mengawal harga rumah agar tidak melonjak tinggi dengan mengadakan konsep Bank Tanah,” katanya.

Disiarkan pada: December 17, 2014 @ 8:49am
d