mutakhir

'Tak beria-ia'

Kuala Lumpur: Penyanyi veteran Datuk A Rahman Hassan mengesahkan bakal menikahi dramatis Fadilah Mansor pada 25 Disember ini dalam satu majlis ringkas yang bakal berlangsung bermula jam 7.45 malam di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

A Rahman, 67, yang dihubungi berkata, bagaimanapun majlis itu akan diadakan secara eksklusif untuk ahli keluarga, kenalan terdekat dan media saja.

“Saya tak mahulah buat majlis beria-ia. Bukan apa pada usia begini kalau majlis besar segan saja nanti orang kata pengantin tua tak sedar diri pula. Jadi kita buatlah apa yang wajib saja untuk meraikan orang-orang terdekat saja.

“Kepada kawan-kawan jauh yang tak dapat saya panjangkan jemputan, saya mohon maaf. Tempat terhad sebab majlis ini kecil saja. Harap yang tak dapat jemputan itu dapat doakan semuanya berjalan lancar nanti,” katanya.

Harian Metro pada 13 November lalu mendedahkan vokalis kumpulan pop yeh yeh Nirwana itu bakal bernikah dengan Fadilah, 54, pada Disember ini berdasarkan gambar baju tempahan pengantin yang diterima.

Difahamkan, pasangan duda dan janda ini mula berkawan selepas hadir pada satu majlis hiburan, beberapa bulan lalu.

Menurut A Rahman, majlis pernikahan dan resepsi mereka pada malam itu bertemakan warna emas.

Fadilah yang juga bekas isteri kepada pengarah filem veteran, Ahmad Ibrahim atau Mat London sudah empat tahun bergelar ibu tunggal memiliki dua anak hasil perkahwinan itu.

Manakala A Rahman pula adalah bapa tunggal kepada tiga anak termasuk pelakon dan pengarah Khir Rahman, selepas Allahyarham isterinya penyanyi Azizah Mohamad meninggal dunia pada 26 April tahun lalu akibat kanser.

A Rahman berharap perkahwinan kali kedua ini berkekalan ke akhir hayat.

“Macam umur saya ini tak ada apa sangat nak terlalu teruja untuk majlis itu nanti. Cuma kita bersyukur atas rezeki dan jodoh ini. Harap-harap semuanya berjalan dengan lancar dan diberkati,” katanya.

Disiarkan pada: December 17, 2014 @ 10:22am
d