mutakhir

Dua ditahan bantu siasatan kes tembak

Seremban: Polis menahan dua lagi lelaki berusia 33 dan 44 tahun bagi membantu siasatan berhubung insiden tembakan di sebuah premis hiburan di Kemayan Square, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan di sekitar daerah ini antara jam 11 pagi hingga 12 tengah hari, semalam.

Beliau berkata, pihaknya kini sudah menahan enam suspek berusia antara 20 dan 44 tahun berhubung kes berkenaan.

Selain itu, menurutnya, laporan dikeluarkan Pakar Radiologi Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) yang menunjukkan terdapat peluru di bahagian tulang bawah kepala mangsa dan pembedahan berjaya mengeluarkan peluru itu.

“Motif sebenar kejadian kerana pertelingkahan membabitkan wanita antara dua kumpulan dan dendam,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Harian Metro semalam melaporkan seorang lelaki dikenali Jepun Chai, 42, cedera di telinga, kepala dan dahi selain mengalami pendarahan dalam otak apabila sekumpulan lelaki melepaskan tujuh tembakan terhadapnya.

Menurut laporan, mangsa yang memiliki rekod jenayah terkena satu daripada tujuh tembakan dan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), di sini.

Dalam perkembangan lain, pihaknya menahan 34 wanita warga Vietnam yang dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan di beberapa pusat hiburan, di sini, kerana tiada dokumen perjalanan sah.

“Dalam operasi bermula jam 11 malam tadi (kelmarin), kami turut menahan tiga warga tempatan yang dipercayai penjaga premis,” katanya semua wanita warga asing ditahan reman 14 hari.

Beliau menafikan dakwaan penahanan wanita terbabit mempunyai kaitan dengan insiden tembak di Kemayan Square.

Disiarkan pada: December 17, 2014 @ 10:26am
d