mutakhir

Duit antik RM10,000 dikebas

Melaka: Seorang peniaga koleksi wang kertas dan siling lama (antik) di Bazar Heritage, Dataran Pahlawan, Melaka Megamall, Banda Hilir, di sini, mendakwa kerugian RM10,000 apabila koleksi membabitkan mata wang lama Malaysia, Singapura dan British miliknya, dikebas seorang lelaki Jumaat lalu.

Mangsa, Richard Lim Yeow Chee, 71, mendakwa kejadian berlaku jam 3 petang apabila dia didatangi lelaki berusia awal 20-an di kedainya.

Menurutnya, lelaki terbabit berpura-pura berminat dengan mata wang lama dengan membelek-belek fail yang menyimpan susunan wang lama, malah melakukan senaman ringan.

“Melihat gelagatnya, saya menegur sambil berkata, kalau mahu membuat senaman ringan lebih baik keluar saja dari kedai kerana saya mahu ke tandas.

“Lelaki itu keluar dari kedai, namun selang lima minit kemudian, dia kembali lalu saya berpura-pura tidur dan ternampak kelibatnya berdiri di depan saya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Lim berkata, sebaik membuka mata, dia terkejut mendapati fail berwarna hitam mengandungi koleksi wang lama dianggarkan bernilai RM10,000 tiada lagi di atas rak bersebelahan tempat dia duduk.

Dia mendakwa, selepas kehilangan fail berisi wang lama itu, beberapa peniaga berhampiran memberitahu ternampak lelaki dalam keadaan tergesa-gesa memeluk fail berwarna hitam beredar dari premisnya.

“Sebelum ini, lelaki terbabit datang ke kedai saya dua hari berturut-turut, kali pertama pada Selasa dan Rabu lalu, manakala kali terakhir Jumaat lalu.

“Ketika itu, dia mendakwa datang dari India sempena cuti sekolah, malah loghat bahasanya pun seolah-olah dia bukan orang tempatan selain dia juga hanya boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris saja,” katanya.

Lim mendakwa, dia langsung tidak menyangka kejadian seumpama itu berlaku.

Malah, katanya, lelaki itu turut mendakwa bapanya berniaga permaidani di sebuah pusat beli-belah berhampiran, tetapi setahunya tiada pula orang berniaga permaidani di pusat beli-belah berkenaan.

“Sejak lima tahun berniaga di sini, ratusan pelanggan datang ke kedai saya, namun tidak berlaku kejadian seperti ini.

“Saya turut memperoleh gambarnya berjalan keluar dari kedai melalui kamera litar tertutup (CCTV) daripada kedai bersebelahan dan saya harap jika gambarnya itu disiarkan, biarlah ibu dan bapanya tahu mengenainya,” katanya.

Lim berkata, satu laporan polis mengenai kejadian itu dibuat di Balai Polis Banda Hilir pada Ahad lalu.

Disiarkan pada: December 17, 2014 @ 10:34am
d