mutakhir

Malaysia diminta contohi Switzerland

Kuala Lumpur: Sudah tiba masanya untuk kerajaan menilai semula pendekatan yang digunakan bagi menangani isu berkaitan dadah di Malaysia.

Setiausaha Kehormat Majlis Aids Malaysia dan Yayasan Aids Malaysia Hisham Hussein berkata, antara pendekatan terbaik itu ialah dengan mencontohi strategi berkesan seperti dilaksanakan di negara luar seperti Switzerland.

Katanya, setakat ini, negara itu disifatkan paling ke hadapan dalam menangani isu berkenaan menerusi rawatan, pengurangan kemudaratan, pencegahan dan penguatkuasaan undang-undang.

“Kita melihat kerajaan membelanjakan peruntukan yang banyak sejak 20 hingga 30 tahun lalu bagi menangani isu ini, namun kesannya tidak begitu ketara dan ia perlu dilihat dan dikaji semula.

“Kita perlu berfikir di luar kotak untuk mencari jalan yang lebih efektif dan jika kita nekad untuk melakukannya, contoh terbaik boleh diambil seperti strategi yang dilakukan di Switzerland.

“Apa yang dilakukan di sana sudah dibuktikan keberkesanannya,” katanya pada sidang media mengenai Strategi Dadah Swiss oleh Majlis Aids Malaysia, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Misi Kedutaan Switzerland di Malaysia Rolf Ott dan Pengurus Polisi Majlis Aids Malaysia Fifa Rahman.

Majlis Aids Malaysia pada Ogos lalu membawa sekumpulan delegasi ke Zurich, Switzerland bagi meninjau serta mengkaji kemudahan rawatan dadah yang disediakan di negera terbabit.

Menerusi Strategi Dadah Swiss, negara itu mempunyai badan kerajaan khas iaitu SIP (Security, Intervention, Prevention) yang terdiri daripada 70 pekerja sosial, etnografi dan psikologi yang berjalan di sekitar bandar Zurich untuk menyelesaikan isu ketenteraman awam dengan cara lemah-lembut tanpa stigma dan sedia memberi pertolongan sebelum polis mengambil tindakan.

Disiarkan pada: December 18, 2014 @ 8:30am
d