mutakhir

STING pantau lokasi 'panas' seludup dadah

Kuala Lumpur: Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman akan menempatkan pegawai dan anggotanya di kawasan ‘panas’ berhampiran sempadan Malaysia - Thailand bagi memantau kegiatan penyeludupan dadah ke negara ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya akan mempertingkatkan kekuatan pasukan elit itu untuk mengesan setiap cubaan dan pergerakan yang berlaku di sempadan.

“Setakat ini, STING mempunyai seramai 150 anggota terlatih yang berupaya mengesan dan memintas kegiatan berkaitan dadah.

“STING juga akan terus bekerjasama dengan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) terutamanya membantu setiap kontinjen untuk menghapuskan sarang dadah di setiap negeri,” katanya selepas majlis penutupan kursus asas STING di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini, semalam.

Dalam majlis itu, Noor Rashid menyampaikan sijil kepada 110 pegawai dan anggota yang menjalani kursus selama sebulan meliputi latihan menyeluruh berkaitan pengumpulan maklumat dan risikan.

Katanya, kursus berkenaan bertujuan memberi pengetahuan undang-undang serta mengumpul maklumat sebelum melakukan operasi sebenar yang lebih mencabar.

“Tugas ini menuntut komitmen, keikhlasan, kesabaran dan minat mendalam. Bagi mendapatkan risikan yang baik, pasukan ini perlu mempunyai hubungan baik dengan masyarakat supaya segala maklumat berkaitan dadah dapat diperolehi,” katanya.

Dalam perkembangan lain Noor Rashid berkata, polis akan memastikan perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2014 antara Malaysia dan Thailand di Stadium Bukit Jalil Sabtu ini, berjalan lancar.

“Setiap penyokong akan diperiksa di setiap pintu masuk stadium bagi memastikan tiada objek dilarang termasuk senjata terlepas masuk ke dalam stadium.

“Kawasan yang memisahkan antara dua penyokong juga akan dikawal ketat oleh anggota polis beruniform dan juga berpakaian biasa,” katanya.

Disiarkan pada: December 18, 2014 @ 8:30am
d