mutakhir

Pekerja disyaki tali barut

Kuala Lumpur: Pekerja di terminal lapangan terbang di negara ini disyaki polis menjadi ‘tali barut’ sindiket penyeludupan dadah antarabangsa susulan beberapa siri rampasan dadah syabu sejak beberapa bulan lalu.

Polis tidak menolak kemungkinan penyeludupan itu turut didalangi warga tempatan terutama pekerja di terminal penerbangan yang dibayar oleh sindiket.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, maklumat itu berdasarkan risikan dan hasil serbuan dilakukan pihaknya terutama berkait sindiket warga Nigeria.

“Kita tidak menolak kemungkinan rampasan dadah pada 13 dan 16 Disember lalu turut didalangi ‘orang dalam’,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam.

Berikutan itu pemeriksaan lebih ketat dan menyeluruh akan dilakukan bagi menjejaki dalang yang terbabit.

Katanya, pembabitan ‘orang dalam’ seperti itu juga memudahkan kumpulan sindiket antarabangsa menukar modus operandi mereka bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Saya percaya dadah yang diseludup masuk ke negara ini adalah untuk pasaran tempatan selain ada juga yang mahu diseludup ke negara jiran berhampiran,” katanya.

“Dasar terbuka serta mesra kerajaan yang menerima pelancong luar diambil kesempatan sindiket untuk menyeludup dadah ke negara ini.

“Hanya tindakan penguatkuasaan yang ketat di pintu masuk negara boleh membantu mematahkan cubaan menyeludup dadah ini,” katanya.

Menurutnya, semua pihak berkuasa perlu meningkatkan keupayaan dan tahap risikan di sempadan negara bagi mengelak sindiket mengambil kesempatan.

Disiarkan pada: December 18, 2014 @ 8:30am
d