mutakhir

Jean terpakai dari Nigeria

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Bungkusan dadah syabu diisytihar berisi seluar jeans lusuh. Itu adalah modus operandi terbaru digunakan sindiket dadah antarabangsa berpangkalan di Abuja, Nigeria.

Sindiket itu dikesan menggunakan perkhidmatan kargo pesawat untuk menghantar bekalan dadah kepada orang tengah mereka di Malaysia.

Difahamkan, kebanyakan ‘orang upahan’ mereka adalah penuntut Nigeria yang sedang menuntut di negara ini

dengan diberikan imbuhan lumayan berpuluh ribu ringgit sebulan.

Malah sindiket itu turut merekrut rakyat tempatan dan pendatang asing bagi memudahkan bekalan dadah diseludup pula ke negara jiran.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, dalam rampasan pertama jam 8.50 malam Sabtu lalu, sindiket dadah itu dikesan cuba menyeludup masuk dua bungkusan berasingan dengan menggunakan perkhidmatan kargo udara.

“Satu daripada bungkusan itu mengandungi seluar jean terpakai manakala satu lagi didapati mengandungi sejumlah 20.2 kilogram (kg) syabu.

“Bungkusan itu dihantar daripada Nigeria menggunakan pesawat penerbangan Egypt Air melalui Kaherah ke Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, semalam.

Menurutnya, taktik itu adalah modus operandi terbaru apabila sindiket menggunakan dua bungkusan berbeza yang diisytiharkan sebagai seluar jean terpakai.

“Sindiket sama turut menghantar dan menyorok barang terlarang itu dalam satu lagi kotak yang dihantar dari Abuja, Nigeria sebelum dirampas pada jam 7.10 malam, kelmarin.

“Hasil pemeriksaan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di kargo lapangan terbang, kami berjaya merampas 23kg syabu dan kita percaya ia dilakukan sindiket sama.

“Anggota sindiket itu diyakini mahir berhubung sistem pengangkutan barang masuk ke dalam negara ini selain mendapat bantuan daripada ‘orang dalam’,” katanya.

Katanya, walaupun tiada tangkapan bagi rampasan pada Sabtu dan semalam, anggota polis tetap akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 bagi menjejaki sindiket berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati bungkusan dari Nigeria itu mahu dihantar ke alamat di Melaka namun pemeriksaan lanjut mendapati ia adalah palsu.

“Dadah berkenaan akan diedarkan di pasaran tempatan selain dihantar ke negara jiran seperti Indonesia berikutan harganya lebih tinggi di sana,” katanya.

Disiarkan pada: December 18, 2014 @ 8:31am
d