mutakhir

Menggeletar teringat anak

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: “Tubuh saya menggeletar sebaik mendapat tahu ratusan murid sekolah di Peshawar, Pakistan, dibunuh pengganas Taliban. Ketika itu saya hanya memikirkan nasib anak perempuan yang menuntut di sekolah rendah berhampiran lokasi kejadian,” kata wanita warga Malaysia, Norma Zainal, 42.

Dia yang berkahwin dengan lelaki Pakistan, Farooq Khan dikurniakan seorang anak perempuan, Maryam Farooq berusia 8 tahun dan tinggal di bandar itu.

Menurutnya, anak perempuannya itu dipelihara keluarga mentua dan kini bersekolah dalam kelas dua di sebuah sekolah rendah di sana.

“Saya hanya mengetahui kejadian pembunuhan itu selepas dimaklumkan suami sekitar jam 10 pagi kelmarin (12 tengah hari waktu Pakistan). Ketika itu saya berada di pejabat.

“Mulanya saya menyangka sekolah Maryam turut terbabit dalam serangan gila itu. Bagaimanapun saya bersyukur apabila anak saya terselamat dan segera dibawa pulang ke rumah oleh abang ipar,” katanya.

Dia menangis memikirkan keselamatan anak perempuannya itu apatah lagi seorang anak saudaranya berusia 15 tahun terbunuh ditembak dalam tragedi itu.

“Apa yang saya tahu semua sekolah di sana diarahkan tutup serta-merta dan semua murid diarahkan pulang ke rumah.

“Malah keadaan di sana belum stabil. Saya cuba menghubungi keluarga dan anak saya di sana, malangnya talian komunikasi disekat sementara berikutan kebimbangan berlaku serangan susulan hari ini (semalam),” katanya.

Dalam kejadian jam 11 pagi kelmarin (9 pagi Malaysia) sekumpulan pengganas menyerang Sekolah Awam tentera di bandar Peshawar sebelum menembak mati 132 murid dan sembilan kakitangan sekolah selain mencederakan 122 yang lain.

Seramai enam penyerang berpakaian tentera bagaimanapun ditembak mati tentera Pakistan selepas menjadikan 160 lagi pelajar sebagai tebusan.

“Saya mendapat tahu anak saya tidak bersekolah hari ini (semalam) berikutan negara itu berkabung selama tiga hari.

“Anak saya akan ke sekolah setiap hari dengan menaiki bas dari rumah. Kejadian itu amat merisaukan hati saya berikutan kanak-kanak turut menjadi sasaran Taliban,” katanya.

Menurutnya, dia sentiasa memantau perkembangan anaknya di sana dan berdoa keadaan kembali pulih bagi membolehkan Maryam ke sekolah kembali.

Disiarkan pada: December 18, 2014 @ 8:33am
d