mutakhir

Setuju beri visa percuma

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Kuala Lumpur: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan mendapatkan persetujuan Kabinet untuk membenarkan permohonan rejim visa percuma bagi pelancong China ke negara ini sekali gus membolehkan sasaran 29.4 juta pelancong sempena ‘Malaysia Year of Festivals’ (MyFest) 2015 tercapai.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, pemberian rejim visa percuma itu akan membolehkan pelancong negara terbabit datang ke negara ini dengan lebih mudah memandangkan beberapa negara jiran yang memberikan visa itu berjaya menarik lebih ramai pelancong China ke negara mereka.

“Kita hadapi saingan yang cukup hebat terutama dengan negara jiran antaranya Thailand, walaupun berlaku pemberontakan di negara itu tahun lalu, tapi mereka tetap mencatatkan kedatangan pelancong China seramai 4 juta berbanding 2 juta orang tahun sebelumnya.

“Jadi, saya rasa kita juga perlu berbuat demikian apatah lagi kita difahamkan Indonesia juga bercadang melakukan perkara sama seperti Thailand. Saya juga bersetuju agar rejim visa percuma diliberalkan sedikit kerana sebenarnya negara ASEAN lain seperti Thailand, Indonesia, Laos dan Kemboja mempunyai rejim yang cukup liberal dalam soal visa ini,” katanya selepas merasmikan Pameran Khazanah Dari Istana Musim Panas di Muzium Negara, semalam.

Nazri dalam pada itu turut bersetuju dengan cadangan Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) kelmarin supaya syarat permohonan visa pelancong China ke negara ini diringankan kerana negara dijangka kerugian RM677 bilion hasil daripada pelancong negara itu jika syarat visa tidak dilonggarkan.

Sementara itu, beliau berkata, kementeriannya akan terus memberi sokongan terhadap Tahun Melawat Selangor 2015 walaupun negeri itu ditadbir pembangkang.

“Kita perlu ingat, Selangor adalah sebahagian dari Malaysia, oleh kerana saya adalah Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, jadi selama itu Selangor di bawah bidang kuasa saya.

“Saya belum gila hendak mengatakan saya tidak akan tolong Selangor apatah lagi negeri ini adalah antara tiga destinasi utama negara. Sasaran yang hendak kita capai iaitu 29.4 juta pelancong pada tahun depan adalah termasuk pelancong yang melawat negeri itu,” katanya.

Mengenai Pameran Khazanah Dari Istana Musim Panas di Muzium Negara, Nazri berkata, menjadi satu kebanggaan buat negara apabila kerajaan China menghantar khazanah berharga negara itu untuk dipamerkan di Muzium Negara hasil daripada hubungan diplomatik antara kedua-dua negara selama 40 tahun.

Disiarkan pada: December 18, 2014 @ 8:34am
d