mutakhir

'Mewah' apabila miliki waktu bersama keluarga 'Mewah' apabila miliki waktu bersama keluarga ADDIN - JUMAAT

Oleh Hilmi Isa

Dalam satu hadis diriwayatkan Imam Bukhari, Nabi SAW berdoa dengan permintaan menjauhi bebanan hutang, lalu seorang sahabat bertanya kepada baginda: “Mengapa tuan banyak meminta perlindungan daripada hutang, wahai Rasulullah?”

Jawab Nabi: “Sesungguhnya seseorang apabila sedang berhutang ketika dia berbicara biasanya berdusta dan apabila berjanji sering mengingkarinya.”

Kereta dan hartanah adalah dua benda utama yang kebanyakan orang akan berhutang kerana harganya tinggi.

Seorang perunding kewangan Islam berkata, hartanah adalah hutang ‘berkat’ manakala kereta adalah hutang ‘mudarat’.

Apabila kita membeli hartanah, 10 tahun kemudian kita akan berkata: “Syukur aku beli rumah dulu. Kalau beli sekarang ni, entah berapa harganya.”

Seorang sahabat saya yang membeli tanah pada nilai RM100,000 berkata, hanya setahun kemudian harga tanah dengan keluasan sama di tempat itu melambung kepada RM150,000.

Berbeza sama sekali dengan kereta, hari dan bulan pertama membelinya kita akan berasa teruja. Selepas waktu berlalu, kita akan berkata: “Bilalah hutang kereta ini akan habis? Dah penat nak membayarnya.”

Satu ketika dulu, sesiapa berkereta dianggap sebagai orang berada. Sebabnya ialah amat kurang orang mampu beli kereta. Malah, sewaktu saya kecil, ketua kampung memandu Honda Accord (SM4) terpakai pun sudah dianggap cukup kaya.

Bayangkan pada zaman itu, Honda Accord pun sudah cukup kaya, inikan pula BMW, Mercedes, Audi dan Jaguar.

Hari ini, setakat memandu Honda, anak muda baru bekerja pun sudah mampu. Bukan setakat yang baru bekerja, malah mereka masih di universiti pun ada kemampuan.

Peraturan permainan hari ini sudah banyak beza dengan zaman sebelumnya. Prestij berkereta mewah tidak seperti dulu lagi.

Tanpa kita sedari, antara definisi kemewahan adalah mampu memiliki perkara yang ramai orang tidak mampu.

Berhutang untuk membeli sebuah kereta berharga kira-kira RM40,000 sebenarnya sudah besar. Persoalannya adakah mereka yang memiliki kereta itu dikategorikan sebagai orang berada? Tidak sama sekali dalam konteks sosial masyarakat Malaysia kerana ramai orang mampu memilikinya.

Jika piawaian sama digunakan, orang yang mewah hari ini adalah orang mempunyai kebahagiaan dan waktu bersama keluarga. Itu adalah perkara yang tidak ramai ahli masyarakat miliki pada hari ini.

Orang pada hari ini diprogramkan lebih awal bahawa kejayaan dan kebahagiaan dalam kehidupan diukur melalui material dan antara yang utama adalah kereta. Lebih mahal kereta dibeli, dianggap lebih berjaya dan bahagia seseorang dalam kehidupannya.

Jadi, untuk menunjukkan mereka lebih berjaya, mereka akan membeli kereta semahal yang mampu. Dari satu perspektif, membeli kereta mewah dengan berhutang sebanyak-banyaknya membabitkan keterikatan untuk membayarnya.

Ramai orang tidak bahagia dalam kerjaya mereka tidak boleh berhenti kerja kerana hutang keliling pinggang. Mereka terus bekerja semata-mata untuk membayar hutang walaupun menghadapi tekanan di tempat kerja. Pergi kerja setiap hari seolah-olah mengheret kaki.

Lebih malang apabila tekanan di tempat kerja tidak ditangani dengan baik dan dibawa balik ke rumah. Timbul pula konflik di rumah.

Saya mengenali seorang pengurus besar bahagian pelaburan di sebuah bank terbesar di Malaysia dan Asia Tenggara yang berbangsa Cina. Tentu sekali pendapatan bulanan adalah lima angka sebulan. Cuba teka kereta apa yang beliau gunakan, Mercedes, BMW atau sekurang-kurangnya kereta tempatan?

Tidak semuanya. Beliau tidak mempunyai sebuah kereta pun! Kehidupannya di sekitar Kuala Lumpur membuatkan beliau menggunakan pengangkutan awam saja. Ya, ramai dalam kalangan kita mempersoalkan rasional di sebalik tindakan beliau.

Perkongsian saya di sini sekadar ingin menunjukkan lebih tinggi ilmu kewangan seseorang, lebih berjaga-jaga mereka mengambil hutang kereta.

Setiap orang dengan keperluan masing-masing untuk membeli kereta. Walau apapun sebab dan tujuan, carilah ilmu dan pelajari cara untuk membeli kereta berkualiti tanpa bebanan hutang yang banyak. Ada caranya, cuma ramai tidak mengetahuinya.

Penulis Perunding Psikologi Bahasa dan penulis buku Marah Tapi Sayang boleh dihubungi melalui Facebook Hilmi Isa (Psikologi Bahasa)

Disiarkan pada: December 18, 2014 @ 8:35am
d