mutakhir

Memang hebat!

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Subang: “Walaupun kebanyakan jawatan ini disandang oleh golongan lelaki, namun tidak mustahil wanita juga mampu memikul tanggungjawab sama,” ujar penerima Anugerah ‘Airman of The Year’, Pegawai Waran 1 Norzaima Mohd Noor, 38.

Norzaima mencatat sejarah apabila muncul pegawai wanita Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pertama yang meraih anugerah berkenaan yang diperkenalkan sejak lima tahun lalu.

Menurut Norzaima, jawatan Pegawai Waran Pangkalan, Pangkalan Udara Subang di sini, terdiri daripada 28 individu dan dia satu-satunya pegawai wanita dilantik.

“Dalam perkhidmatan TUDM, Pegawai Waran adalah seorang pegawai tanpa tauliah yang mempunyai tanggungjawab yang tinggi dan dikaitkan dengan pengalaman dan pengetahuan yang meluas.

“Anugerah diterima hari ini (semalam) membuktikan golongan wanita juga layak memegang jawatan berkenaan, sekali gus menjadi yang terbaik daripada pegawai tentera udara di seluruh negara,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Anugerah itu disampaikan oleh Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Roslan Saad Majlis Anugerah Kecemerlangan TUDM 2014 di Pangkalan TUDM Subang di sini, semalam.

Norzaima berkata, dia bernasib baik kerana suaminya, Nasharuddin Jaafar, 44, amat memahami kerjayanya yang perlu bersiap sedia sepanjang masa.

Seorang lagi penerima anugerah berkenaan, Jurugambar Pangkalan Udara Kuantan Korperal Udara Syed Amerul Azree Syed Zainol Hamzan, 28, berkata, ia adalah kali pertama dia menerima anugerah seumpama itu di peringkat TUDM.

“Jika sebelum ini anugerah ini dimonopoli oleh jabatan dan bahagian lain dalam TUDM, namun pada hari ini (semalam) kami daripada Bahagian Media menerima anugerah ini.

“Individu yang dicalonkan akan melalui tiga peringkat ujian dan sebagai jurugambar, saya banyak bergaul dengan orang atasan membuatkan saya lebih yakin ketika ujian berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Roslan berkata, anugerah berkenaan diberikan kepada anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang menunjukkan kecemerlangan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab harian.

Disiarkan pada: December 18, 2014 @ 8:37am
d