mutakhir

'Tiba-tiba banyak'

Oleh Rahmat Othman

Alor Setar: Kawasan Sungai Kedah berhampiran Muzium Negeri di sini, menjadi tumpuan orang ramai terutama kaki pancing, kelmarin, yang mendakwa mampu memperoleh banyak ikan keli berbanding kebiasaan.

Tinjauan mendapati 30 pemancing berkampung di kawasan itu bagaikan pesta mulai jam 7 pagi sejak seminggu lalu dan mereka mendakwa tidak pulang dengan tangan kosong.

Seorang pemancing Syed Zainal Rashid Syed Othman, 55, berkata, ikan keli yang begitu banyak dan mudah dipancing itu menyebabkan kawasan berkenaan menjadi tumpuan sedangkan sebelum ini tidak ramai memancing di situ.

“Ramai yang terkejut apabila ikan keli tiba-tiba banyak di Sungai Kedah ini dan saya bersama isteri serta dua anak, berjaya membawa pulang antara 10 hingga 30 kilogram ikan setiap hari sejak seminggu lalu.

“Kawasan ini menjadi tumpuan seperti ada pertandingan memancing sejak awal pagi,” katanya.

Pemancing lain Ahmad Jaafar, 63, berkata, dia pelik apabila banyak ikan keli di Sungai Kedah hingga menyebabkan kawasan itu menjadi tumpuan ramai pemancing sejak seminggu lalu.

Namun katanya, ia pengalaman menyeronokkan tetapi percaya keadaan itu tidak akan berpanjangan.

“Agak menghairankan kerana tidak pernah berlaku ikan keli begitu banyak di Sungai Kedah ini. Sekarang, setiap dua atau tiga minit ada saja pemancing yang berjaya menaikkan ikan itu,” katanya yang mengesyaki kehadiran ikan keli itu berikutan banjir baru-baru ini.

Disiarkan pada: December 18, 2014 @ 8:48am
d