mutakhir

Cucu bergayut di pinggang

Oleh Nazdy Harun

Marang: “Situasi ketika itu amat genting apabila cucu yang bergayut di pinggang saya dalam usaha menyelamatkan diri hampir lemas berikutan air dalam serta arus deras,” kata Siti Musa, 59, ketika ditemui di pusat pemindahan banjir Dewan Seri Rawai, di sini, semalam.

Menurutnya, menyedari paras air semakin meningkat pada jam 4 pagi, Isnin lalu, dia bersama cucunya, Norehan Ahmad Syukri, 6, nekad cuba menyelamatkan diri namun hajatnya itu terhalang berikutan keadaan air dalam kira-kira 1.2 meter.

Katanya, dia tidak dapat mendukung cucunya kerana membawa beg pakaian dan dokumen penting menyebabkan cucunya terpaksa bergayut pada pinggangnya.

“Selepas melangkah lebih lima meter, saya melihat cucu hampir lemas dan bertindak memaut seluruh badan saya bagi menyelamatkan dirinya mengakibatkan keadaan menjadi semakin panik.

“Ketika itu saya lihat air sudah memasuki hidung Norehan dan dalam keadaan terkapai-kapai, saya terus membawanya pulang ke rumah serta menunggu bantuan daripada pihak berkuasa,” katanya yang tinggal di Kampung Pak Madah, di sini.

Menurutnya, dia menjalani pembedahan jantung, tahun lalu, menyebabkannya cepat letih serta tidak mampu mengangkat beban berat.

Katanya, dia bersyukur kerana cucunya terselamat dalam kejadian itu berikutan tindakan pantasnya berpatah kembali ke rumah dan menunggu bantuan tiba.

Mangsa lain yang ditemui, Mariani Matsool, 41, berkata, dia bersama suami, Razali Mohamad, 47, dan lima anak serta ibu bapanya terpaksa meredah banjir sejauh satu kilometer untuk menyelamatkan diri.

“Ketika itu arus deras mengalir ke arah anak sungai mengakibatkan kami sekeluarga saling berpaut bagi mengelak dihanyutkan sebelum diselamatkan pihak keselamatan.

“Kedudukan rumah kira-kira 10 meter dari Sungai Che Ali yang mengalir ke Sungai Kepong menyebabkan rumah kami terdedah dengan banjir setiap tahun.

“Banjir tahun ini adalah pengalaman pertama saya bersama keluarga menghuni pusat pemindahan berikutan sebelum ini kami hanya berada di rumah ketika banjir melanda,” katanya.

Sementara itu, Penghulu Mukim Alor Limbat Mohd Adnan Mohd Amin berkata, seramai 33 keluarga dangan 118 mangsa dipindahkan ke Dewan Seri Rawai sejak 15 Disember lalu.

Disiarkan pada: December 18, 2014 @ 9:05am
d