mutakhir

Vokalis mengaku miliki dadah

Ampang: Vokalis baru kumpulan Terrarossa, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan memiliki dan memasukkan dadah jenis Methamphetamine ke dalam badannya, Mei lalu.

Bagaimanapun, Khairul Hizam Kaha, 39, hanya mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki dadah selepas jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.

Bagi pertuduhan memasukkan barang larangan itu ke dalam badannya pula, Khairul Hizam mengaku tidak bersalah.

Jatuh hukum terhadap tertuduh ditangguhkan sementara menunggu laporan kimia dan sebutan semula kedua-dua kes itu ditetapkan pada 12 Februari.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 0.98 gram di kawasan Axis Astrium, Taman Cempaka di sini pada jam 4.30 petang, 10 Disember lalu.

Penyanyi itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda hingga RM100,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memasukkan dadah itu ke dalam tubuhnya di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang di sini pada jam 7.15 malam, 29 Mei lalu.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 15 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 dan pengawasan polis selama tiga tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Purnima manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Purnima menawarkan ikat jamin RM4,000 bagi setiap pertuduhan namun tertuduh merayu jaminan dikurangkan kerana mempunyai tiga anak dan sekarang dia tidak berkerja.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan pertama manakala RM2,000 dengan seorang penjamin untuk pertuduhan kedua.

Disiarkan pada: December 18, 2014 @ 10:14am
d