mutakhir

Laluan khas di KLIA mudahkan warga asing

Sepang: Jabatan Imigresen memperkenalkan kemudahan ‘Foreigner eGate’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini khusus kepada warga negara asing yang memegang pas jangka panjang tanpa melalui proses kemasukan imigresen secara manual di kaunter.

Ketua Pengarahnya Datuk Mustafa Ibrahim berkata, kemudahan itu akan dilaksanakan pada 28 Disember ini di KLIA manakala, beroperasi di klia2 pada Februari tahun depan seterusnya diperluaskan ke enam lapangan terbang antarabangsa di seluruh negara.

“Inisiatif memperkenalkan kemudahan ini adalah bagi memantapkan lagi prosedur serta pemprosesan kemasukan warga negara asing di pintu masuk dan keluar negara ini.

“Sebagai permulaan, sebanyak lapan unit ‘Foreigner eGate’ sudah siap untuk digunakan di KLIA yang akan digunakan oleh ekspatriat, pelajar asing melanjutkan pengajian di sini dan pekerja asing yang menggunakan pas jangka panjang,” katanya pada sidang media pra-Pelancaran ‘Foreigner eGate’ dan laluan ekspres ‘ASEAN Lane’ di KLIA di sini, semalam.

Bagi laluan ekspres ‘ASEAN Lane’, Mustafa berkata, ia adalah kemudahan kepada pemegang pasport serta pelawat dari negara ASEAN sempena Malaysia menjadi pengerusi ASEAN Summit 2015 serta sudah dilaksanakan di KLIA sejak beberapa minggu lalu.

Menurutnya, laluan ekspres itu akan dikekal dan diperluaskan ke lapangan terbang antarabangsa di seluruh negara walaupun Malaysia sudah tidak lagi menjadi tuan rumah acara berkenaan.

“Terdapat lima laluan ekspres ini di KLIA iaitu dua laluan di terminal pelepasan antarabangsa manakala, tiga laluan di terminal ketibaan antarabangsa,” katanya.

Disiarkan pada: December 19, 2014 @ 5:15am
d