mutakhir

Sari Yanti tebus talak RM10,000

Kuala Lumpur: “Ya, memang saya sudah bercerai, tapi maaf itu saja yang boleh dikongsikan buat masa ini,” kata pelakon Sari Yanti mengenai perceraiannya dengan ahli perniagaan Mohd Edy Casmadi Che Hussain.

Sari atau Sari Yanti Mohamad Nazri, 30, berkata, dia tidak boleh bercerita lebih lanjut mengenai perceraian itu demi kebaikan keluarga dan anak-anak.

“Kalau tanya saya lebih, memang tak boleh nak jawab sekarang. Ada sebab tertentu saya tak boleh buka mulut lagi.

“Saya mohon semua hormati dan tidak bertanya lanjut. Tunggulah bila ada masa sesuai nanti Insya-Allah saya bercerita,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Sari Yanti memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan mengikut Seksyen 47, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2003 pada Februari lalu.

Mereka berkahwin pada 16 Januari 2009 dan semalam diputuskan sah bercerai secara tebus talak di Mahkamah Syariah Seremban.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua anak, Barr al Aliy dan Basit al Haq.

Tebus talak RM10,000 dibayar oleh Sari kepada Mohd Edy Casmadi, 34.

Bagaimanapun, kedua-duanya tidak hadir ketika prosiding mahkamah.

Susulan itu, perbicaraan kes nusyuz yang dijadualkan berlangsung kelmarin juga terpaksa ditangguhkan.

Mahkamah menetapkan 9 Februari depan sebagai tarikh perbicaraan kes itu jika tidak ada penyelesaian antara mereka.

Ketika ditanya mengenai hak penjagaan anak, Sari berkata, mengunci mulut tindakan terbaik pada waktu ini bagi mengelakkan sebarang kemungkinan yang tidak diingini.

“Saya tak berani cakap mengenai hak penjagaan atau apa saja butiran lain mengenai kes ini sebab tak mahu mengeruhkan keadaan,” katanya.

Disiarkan pada: December 19, 2014 @ 5:16am
d