mutakhir

74% projek pulih

Oleh Mohd Husni Mohd Noor dan Siti A’isyah Sukaimi

Sepang: Keprihatinan kerajaan untuk memulih dan menyelamatkan projek perumahan terbengkalai di seluruh negara membuahkan hasil apabila 74 peratus projek berjaya dipulihkan dan sudah diduduki pemiliknya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, selain itu, 10.27 peratus projek terbengkalai membabitkan 33 projek perumahan lain dalam proses pemulihan manakala baki 15.3 peratus dalam proses perancangan awal.

Beliau berkata, tanggungjawab kerajaan ini dilihat sudah menjangkau daripada apa yang sepatutnya memandangkan pada asalnya ia projek perumahan dikendalikan syarikat swasta.

“Jika kerajaan kata ini bukan projek kerajaan tiada siapa boleh salahkan kerajaan kerana ia sebenarnya tanggungjawab pemaju asal.

“Apabila ia (projek) sudah terbengkalai maka, ia sebenarnya berkait dengan pemaju asal dan tiada kena mengena dengan kerajaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Projek Pembangunan Semula Bandar Salak Perdana di Mukim Dengkil, di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimah Mohamad Sadique, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan, Pengerusi Malaysia Building Society Bhd (MBSB) Tan Sri Abdul Halim Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Datuk Ahmad Zaini Othman.

Najib berkata, Bandar Salak Perdana yang sebelum ini dikenali sebagai Taman Kenanga terbengkalai selama 12 tahun sebelum kerajaan campur tangan menerusi MBSB sebagai bank pembiaya membabitkan dana RM215 juta.

Beliau mengucapkan tahniah kepada MBSB dan pemaju penyelamat, NCT United Development Sdn Bhd (NCT) kerana memulihkan projek perumahan itu dalam tempoh dua tahun.

“Saya berharap pemulihan projek perumahan terbengkalai seperti Bandar Salak Perdana ini menjadi contoh usaha kerajaan memperjuangkan dan mempertahankan hak rakyat.

“Saya bangga dengan usaha ini yang membantu mencapai sasaran menyediakan sejuta unit kediaman mampu milik di seluruh negara menjelang tahun 2020,” katanya.

Katanya, beliau difahamkan, harga asal jualan unit kediaman di Bandar Salak Perdana sekitar RM140,000 seunit namun, harga pasarannya kini mencecah sehingga RM400,000 seunit.

Terdahulu, Najib berkesempatan menyerahkan lima kunci unit kediaman kepada lima pemilik rumah Bandar Salak Perdana.

Projek Bandar Salak Perdana dibiayai MBSB dengan bantuan dan sokongan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan ia terletak 24 kilometer dari Putrajaya, Cyberjaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Disiarkan pada: December 19, 2014 @ 5:17am
d