mutakhir

Sanggup redah air beli makanan

Kota Bharu: “Saya sanggup redah air yang naik mendadak untuk membeli makanan bagi mengalas perut,” kata seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun, Nor Fatin Aswin Zakaria dari Kedai Mulong, di sini, malam kelmarin.

Anak sulung daripada tiga beradik itu keluar membeli dua bungkus bihun sup untuk dijadikan alas perut selepas rumah didiaminya dinaiki air.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Mulong 1 itu meredah air manakala ibunya, Salma Riffin, 37, menunggu ketibaan bantuan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) daerah ini datang menyelamatkan mereka di luar jalan masuk ke rumah mereka.

Nor Fatin Aswin berkata, walaupun takut meredah air, dia tetap memberanikan diri untuk keluar ke jalan utama bagi membeli makanan pada waktu malam kerana tidak tahan lapar.

“Saya nekad untuk keluar meredah air banjir pada paras 0.5 meter sejauh 50 meter kerana ibu tidak dapat memasak disebabkan bahagian dapur rumah dinaiki air.

“Mujurlah ketika itu air tidak deras dan saya dapat pulang dengan selamat,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan banjir, di sini, kelmarin.

Nor Fatin bersama ibunya serta dua adiknya berusia tiga dan lima tahun dibawa menaiki sebuah lori JPAM untuk dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di SK Mulong 1, di sini, pada jam 11 malam, kelmarin.

Disiarkan pada: December 19, 2014 @ 5:19am
d