mutakhir

'Adik takut lemas'

Oleh Azlan Hafeedz

Pasir Puteh: “Ibu, adik takut lemas,” keluh Nur Rabiatul Atiqah Rohaiman, 8, kepada ibunya, Nik Haspizah Hasanuddin, 34, sebaik mengetahui rumah neneknya di Kampung Gong Kua, dekat sini, ditenggelami air sedalam dua meter, awal pagi semalam.

Bagaimanapun, dua beranak yang mengalami patah paha dan betis itu akibat kemalangan jalan raya di Kemaman, Terengganu, dua minggu lalu, lega selepas diselamatkan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) pada jam 9 pagi, semalam.

Ibu Nik Haspizah, Fauziah Abd Rahman, 61, berkata, cucunya yang patah kaki kanan itu asyik merengek ketakutan sebaik melihat air mula melimpah masuk ke dalam rumah.

Katanya, kenaikan paras air secara mendadak berpunca daripada limpahan air Sungai Semerak yang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya menyebabkan dia sekeluarga tidak dapat melelapkan mata.

“Kecederaan dua beranak itu menyebabkan mereka tidak mampu bergerak dan terpaksa diletakkan di tempat lebih tinggi sebaik air di dalam rumah mulai mencecah paras 0.8 meter pada jam 5 pagi.

“Saya dan suami, Zainuddin Abd Rahman, 51, termasuk suami Nik Haspizah, Rohaiman Mansor, 36, terpaksa bersengkang mata hingga ke pagi kerana bimbang jika air terus naik,” katanya yang mengakui banjir kali ini adalah terburuk sejak 10 tahun lalu.

Nik Haspizah dan Nur Rabiatul kemudian dibawa ke pusat pemindahan banjir di Dewan Sekolah Menengah Kamil sebelum dirujuk ke Hospital Tengku Anis, di sini, untuk tindakan selanjutnya.

Difahamkan, kira-kira 20 rumah di sepanjang tebing Sungai Semerak ditenggelami air menyebabkan segelintir penduduk tidak sempat menyelamatkan harta benda mereka kerana paras air dikatakan naik tidak sampai tempoh sejam.

Nik Haspizah berkata, dia bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat walaupun rumah mereka ditenggelami air sedalam dua meter.

“Tidak dinafikan saya dan suami turut panik sebaik melihat air naik mendadak, namun tidak mampu berbuat apa-apa kerana keadaan persekitarann terlalu gelap.

“Nasib baik kredit telefon berbaki 30 sen dapat digunakan untuk menghantar SMS kepada seorang saudara sebelum dia menghubungi pasukan keselamatan untuk menyelamatkan kami sekeluarga,” katanya.

Disiarkan pada: December 19, 2014 @ 5:19am
d