mutakhir

Bersalin lepas redah banjir

Oleh Zulkifli Zainuddin

Rantau Panjang: Seorang wanita terpaksa menanggung kesakitan selama dua jam untuk melahirkan anak apabila rumahnya di Kedai Lama, di sini, dilanda banjir sebelum diselamatkan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), semalam.

Dalam kejadian jam 4.25 pagi, Nuriza Azmi, 23, melahirkan anak perempuan di rumah saudaranya selepas pasukan JPAM meredah banjir ke rumah terbabit dengan menaiki lori bersama seorang jururawat.

Menceritakan kejadian itu, suaminya, Zamri Kumit, 26, berkata, dia tidak menyangka isterinya melahirkan anak kedua pada pagi semalam kerana Nuriza sepatutnya dijangka bersalin, Ahad ini.

Katanya, sebelum kejadian, dia bersama isteri, mentua dan anaknya yang berusia 16 bulan berada di rumahnya di kampung itu sebelum mengambil keputusan meredah banjir ke rumah saudara berdekatan.

“Kawasan rumah saya dinaiki air secara mendadak sehingga ke paras 0.8 meter.

“Saya ambil keputusan meredah banjir ke rumah saudara terletak 400 meter dengan berjalan kaki pada jam 12 tengah malam berikutan kawasan rumah sudah tidak selamat,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun ketika berada di rumah saudara jam 2 pagi isterinya mula mengadu sakit untuk bersalin.

“Ketika itu air mula naik di kawasan rumah memaksa saya menghubungi JPAM untuk membawa kami ke hospital berdekatan.

“Bagaimanapun, isteri menahan kesakitan selama dua jam berikutan kesukaran JPAM untuk memasuki kawasan rumah.

“Isteri melahirkan anak selepas jururawat bersama JPAM tiba,” katanya.

Zamri berkata, dia bersama keluarga terus dibawa ke Hospital Pasir Mas, dekat sini, dengan menaiki lori bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.

“Saya bersyukur isteri melahirkan anak dengan selamat. Saya berterima kasih kepada pihak berkuasa yang bertungkus-lumus menyelamatkan kami sekeluarga,” katanya.

Disiarkan pada: December 19, 2014 @ 5:20am
d